Perlawanan Liga Super PKNS FC vs Melaka Ditunda

PERLAWANAN LIGA SUPER MELAKA-PKNS FC DITUNDA AKIBAT VIRUS INFLUENZA

Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan perlawanan di antara Melaka dan PKNS FC yang dijadual berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka pada malam esok (12 Julai 2019) ditunda pada 16 Julai 2019.

Penundaan perlawanan Liga Super minggu ke-20 itu dibuat atas faktor masalah kesihatan, keselamatan dan kesukanan.

Keputusan itu dicapai oleh MFL selepas menerima permohonan penundaan perlawanan minggu daripada PKNS FC yang turut mengemukakan laporan penuh doktor perubatan hari ini apabila seramai lapan pemain mereka telah disahkan dijangkiti virus influenza.

PKNS FC menjadi pasukan kedua yang menyaksikan pemain-pemain utama mereka dijangkiti virus influenza selepas perlawanan Johor Darul Ta’zim (JDT) bertemu PJ City FC yang sepatutnya berlangsung pada semalam di Stadium Tan Sri Dato  HJ Hassan Yunos Larkin turut ditunda gara-gara berdepan situasi sama seperti PKNS FC.

Justeru, MFL bersetuju untuk tidak meneruskan perlawanan disebabkan bimbang virus influenza yang merupakan sejenis penyakit berjangkit melalui saluran pernafasan disebabkan sesuatu virus, akan memberikan impak negatif kepada persekitaran perlawanan itu jika aksi itu diteruskan.

Ini kerana virus Influenza bukan sahaja memberikan risiko tinggi kepada pasukan pelawat malah dikhuatiri orang ramai turut terdedah kepada jangkitan itu.

Sehubungan dengan itu, MFL membuat keputusan untuk menunda perlawanan Liga Super Melaka dan PKNS FC ke tarikh baharu iaitu pada 16 Julai ini. Keputusan ini diterima dan disokong oleh kedua-dua pasukan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Melaka FA, Farhan Ibrahim mengakui keputusan yang dibuat MFL itu tepat dalam usaha membasmi virus influenza merebak sekali gus mengelak impak negatif kepada persekitaran khususnya kepada penonton yang hadir ke stadium.

“Kami sentiasa menghormati keputusan MFL untuk menangguhkan perlawanan kerana jangkitan virus influenza adalah satu perkara yang serius.

“Apa yang pasti, Melaka FA sentiasa mendoakan pemain-pemain PKNS FC akan kembali pulih serta cergas seperti sedia kala dan saya berharap mereka akan dapat mengharungi detik sukar ini dengan tabah,” katanya.

Sumber : MFL

Komen Anda?