fbpx

Perlawanan Liga Super Malaysia 2019 Antara Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim Menentang PKNS FC

LIGA SUPER MALAYSIA 2019 | JDT VS PKNS FC

Perlawanan Liga Super Malaysia 2019 antara Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim menentang PKNS FC akan berlangsung Sabtu ini, 20 April 2019 di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin jam 9.00 malam.

Ayuh berikan kata-kata semangat dan sokongan anda selaku penyokong untuk para pemain Harimau Selatan dalam aksi perlawanan ini. Luaskan Kuasamu Johor.

KEKAL MENDOMINASI CARTA LIGA PENYUNTIK SEMANGAT JUANG HARIMAU SELATAN

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) akan bertemu PKNS FC sekali lagi di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin malam ini, 20 April 2019 tetapi kali ini dalam saingan Liga Super Malaysia untuk perlawanan kesepuluh. Lebih menarik kerana pada pertemuan tiga hari lepas, JDT tewas pada pasukan yang sama ketika pusingan ketiga Shopee Piala FA 2019.

Sudah pasti, fokus kepada saingan Liga Super serta mengutip mata penuh menjadi keazaman skuad Harimau Selatan sekaligus memastikan rekod kebal Stadium Larkin dalam saingan liga sejak musim 2013 diteruskan. Tiga mata mutlak pada perlawanan ini juga amat penting demi menjarakkan mata dengan pasukan pesaing lantas terus mendominasi carta liga.

Ayuh berikan sokongan anda kepada pasukan anda agar pejuang-pejuang Merah Biru beraksi dengan penuh motivasi, semangat dan komitmen yang tinggi untuk memburu kemenangan. Luaskan Kuasamu Johor.

Untuk persiapan bertemu pasukan PKNS pada malam ini, kami telah menjalani sesi latihan seperti kebiasaan. Kami juga akan memperbaiki segala kesilapan yang telah kami lakukan pada perlawanan lepas. Bagi saya, pasukan PKNS merupakan sebuah pasukan yang menerapkan disiplin bertahan dengan baik serta melakukan serangan balas dengan pantas.

Kesemua pemain dalam Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) akan cuba melakukan tugas masing-masing dengan baik. Kami berasa amat bersemangat untuk perlawanan malam ini. Lebih-lebih lagi dengan mentaliti kami yang dahagakan kemenangan, sentiasa mahukan kejayaan dan tidak suka pada kekalahan.

Seperti kita sedia maklum, JDT mempunyai jadual yang amat padat untuk bulan ini. Bagi diri saya sendiri, saya mengamalkan pemakanan seimbang dan memastikan pengambilan air yang banyak untuk memastikan tahap stamina diri saya dalam keadaan terbaik. Selain itu, rehat yang cukup juga amat penting bagi memastikan diri sentiasa cergas.

Syafiq Ahmad, Pemain Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim

REKOD PERTEMUAN JDT DAN PKNS FC DALAM LIGA SUPER SEJAK 2013

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah bertemu pasukan PKNS FC sebanyak 8 kali dalam pertandingan Liga Super sejak 2013.

Mengikut rekod dari 8 pertemuan, JDT mencatat 6 kemenangan dan 2 seri. JDT berjaya menjaringkan 14 gol dan gawang JDT hanya dibolosi 4 kali oleh PKNS FC sepanjang sejarah pertemuan kedua-dua pasukan.

Kejayaan membawa pulang tiga mata dari Petaling Jaya menyaksikan JDT kembali kukuh di persada liga dan keputusan positif diperlukan bagi memastikan kedudukan teratas Liga Super Malaysia 2019 kekal di tangan JDT. Luaskan Kuasamu Johor.

Sumber : JOHOR Southern Tigers

Komen Anda?