Perlawanan Liga Super JDT vs PJ City FC Ditunda

Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan perlawanan di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Petaling Jaya City FC yang dijadual berlangsung di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin pada malam esok (10 Julai) terpaksa ditunda di atas faktor masalah keselamatan, kesihatan dan kesukanan.

Keputusan itu dibuat selepas MFL menerima permohonan penundaan perlawanan minggu ke-20 Liga Super daripada JDT berserta laporan penuh doktor perubatan pada hari ini.

Berdasarkan laporan itu mendapati sebahagian besar pemain dan pegawai mereka disahkan dijangkiti virus influenza.

Selepas penelitian itu, MFL telah bersetuju untuk tidak meneruskan perlawanan disebabkan bimbang virus influenza yang merupakan sejenis penyakit berjangkit melalui saluran pernafasan disebabkan sesuatu virus, akan memberikan impak negatif kepada persekitaran perlawanan itu jika aksi itu diteruskan.

Ini kerana virus Influenza bukan sahaja memberikan risiko tinggi kepada pasukan pelawat sebaliknya turut bimbang terdedah kepada jangkitan itu adalah orang ramai jika perlawanan itu diteruskan.

Sehubungan dengan itu, MFL membuat keputusan untuk menunda perlawanan Liga Super JDT dengan PJ City FC ke tarikh baharu iaitu pada 16 Julai ini. Keputusan ini diterima dan disokong oleh kedua-dua pasukan.

Atas semangat kesukanan juga, pasukan Kuala Lumpur turut bersetuju untuk menunda tarikh perlawanan dengan JDT pada 14 Julai ini kepada 13 Julai bagi membolehkan pasukan lawan itu mempunyai tempoh rehat dua hari sebelum perlawanan menentang PJ City FC pada 16 Julai ini.

Ini bukan pertama kali insiden seumpama ini berlaku di mana pihak Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Jun 2014 telah menunda perlawanan Liga Premier di antara Perlis dan UiTM FC selepas 14 pemain Perlis diserang penyakit cirit birit.

Sementara itu pihak pengurusan PJ City FC menyokong keputusan MFL itu yang dilihat tepat sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelak penularan penyakit itu terus merebak.

Menurut Setiausaha Agung PJ City FC, S Ganesh, mereka sudah dimaklumkan mengenai situasi itu dengan jelas dan menyokong keputusan penundaan perlawanan ke tarikh 16 Julai ini.

“Kami sokong keputusan penangguhan perlawanan ini dengan terbuka kerana bagi kami aspek kesihatan memang patut diutamakan ketika ini. 

“Jika dilihat laporan kes kesihatan yang melanda beberapa pemain JDT, memang kita tidak boleh ambil mudah dan kami pun ingin ambil langkah berjaga-jaga juga sebab risau pemain-pemain lain boleh terkena jangkitan atau sebagainya. 

“Apa-apa pun saya harap keadaan akan kembali pulih dan ketika ini lebih elok kita mengutamakan tahap kesihatan barisan pemain baik pihak lawan dan pasukan sendiri,” katanya.

Sumber : MFL