Penduduk Kepulauan Mersing Tetap Di Hati Sultan Johor

Cuaca yang panas sejak pagi tidak menghalang DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berangkat menyampaikan sumbangan peribadi kepada penduduk di tiga pulau di Mersing.

Terdahulu, Baginda Tuanku Sultan berkenan mengurniakan sumbangan kepada 25 keluarga di Pulau Pemanggil, manakala di Pulau Aur melibatkan seramai 38 keluarga.

DYMM Sultan Johor yang turut berkenan mengemudi sendiri bot laju kemudian berangkat ke Pulau Sibu dan Baginda menyampaikan kurniaan kepada 53 keluarga.

“Saya amat berharap sumbangan yang disampaikan digunakan sebaik mungkin dan tidak lama lagi Aidilfitri menjelang tiba,” titah Baginda Tuanku Sultan pada hari ini (3 Mei).

Pada masa sama, DYMM Sultan Johor bertitah menasihatkan penduduk-penduduk supaya menjaga menjaga kesihatan masing-masing bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19.

Sementara itu, penduduk Pulau Sibu,
Abdul Ghani Syed Idrus, 61, bersyukur di atas kurniaan sumbangan yang diterima daripada Baginda Tuanku Sultan.

“DYMM Sultan Johor tidak pernah melupakan kami yang menetap di pulau, sungguh gembira apabila dapat bertemu Baginda yang sudi berangkat dan menyampaikan sumbangan.

“Semoga Allah SWT merahmati Baginda dengan penuh kebaikan dan melanjutkan usia Baginda Tuanku Sultan,” katanya yang bekerja sebagai nelayan dan menetap hampir 50 tahun di Pulau Sibu.

Daulat Tuanku

Komen Anda?