Pelumba Muda Mohd Akid Raih Kemenangan Sulung Cub Prix Di Litar Tangkak

Pelumba muda, Mohd Akid Aziz meraih kemenangan sulung pada musim ini apabila mengungguli kelas perdana CP150 pada pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas di Litar Lumba Tangkak, Johor, hari ini.

Pelumba berusia 22 tahun dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor itu mempamerkan aksi cemerlang di litar basah akibat hujan melintasi garisan penamat dengan merekod 15 minit 46.337 saat.

Kali terakhir Mohd Akid meraih kemenangan adalah pada pusingan kesembilan di Litar Jempol, Negeri Sembilan, November tahun lepas.

Pelumba pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing Azroy Hakeem Anuar yang muncul terpantas pada sesi kelayakan semalam, sekadar berpuas hati di tempat kedua dengan masa 15:46.651s, manakala tempat ketiga diraih pelumba pasukan ONEXOX TKKR SAG Team Mohd Muzakkir Mohamed (15:50.266s).

Pelumba pasukan HI REV SCK Honda Racing, Mohd Helmi Azman yang mengungguli pusingan pertama di Litar Sepang (Utara) bulan lepas, sekadar menduduki tempat ke-18.

Sementara itu, Mohd Akid berkata beliau hanya fokus untuk mengekalkan rentak tunggangan memandangkan perlumbaan agak mencabar susulan keadaan litar yang licin.

“Saya hanya fokus untuk mengekalkan rentak tunggangan dan tidak perlu terburu-buru kerana ada beberapa selekoh di litar ini sangat mencabar. Saya hanya perlu sesuaikan gaya tunggangan dengan keadaan litar licin bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Kemenangan hari ini menyaksikan Mohd Akid menduduki tangga kedua keseluruhan dengan 25 mata. Azroy Hakeem berada di tangga teratas kelas CP150 menerusi pungutan 36 mata, manakala Mohd Helmi di tempat ketiga (25 mata).

Pusingan ketiga diadakan di Litar Sepang (Selatan) dari 2-3 Sept ini.

Keputusan pusingan kedua:

CP150:

1. Mohd Akid Aziz (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) 15 minit 46.337 saat

2. Azroy Hakeem Anuar (Idemitsu Honda Yuzy Racing) 15:46.651s

3. Mohd Muzakkir Mohamed (ONEXOX TKKR SAG Team) 15:50.266s

CP125:

1. Mohd Shafiq Rasol (ONEXOX TKKR SAG Team) 12:00.737s

2. Mohd Syafiq Rosli (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) 12:01.866s

3. Mohd Aliff Danial Mohd Asri (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) 12:02.369s

Kedudukan selepas pusingan kedua:

CP150:

Individu:

1. Azroy Hakeem Anuar (Idemitsu Honda Yuzy Racing) 36 mata

2. Mohd Akid Aziz (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) 25

3. Mohd Helmi Azman (HI REV SCK Honda Racing) 25

4. Mohd Muzakkir Mohamed (ONEXOX TKKR SAG Team) 24

5. Mohd Khairul Ikhwan Ajis (AHM Motorsports) 20 

Pasukan:

1. Idemitsu Honda Yuzy Racing 47 mata

2. HI REV SCK Honda Racing 34 

3. Onexox TKKR SAG Team 34

CP125:

Individu:

1. Mohd Shafiq Rasol (ONEXOX TKKR SAG Team) 45 mata

2. Mohd Syafiq Rosli (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) 31

3. Mohd Syafieq Aiman Mohd Fauzi (ONEXOX SAG Team) 25

4. Mohd Khairi Asyraf Mahmood (Ipone Yamaha YY Pang Racing Team) 21 

5. Mohd Fareez Afeez Abd Rahman (Ipone Yamaha YY Pang Racing Team) 21

Pasukan:

1. ONEXOX TKKR SAG Team 61 mata

2. Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor 47 

3. ONEXOX SAG Team 38 

BERNAMA

Last lap CP150, persaingan sengit diantara Akid Aziz & Azroy Hakeem Anuar!

 19 Total Views,  1 Views Today

Komen Anda?