Pasukan Johor Darul Tak’zim (JDT) Bersedia Menampilkan Aksi Bertenaga Menentang Shandong

SESI SIDANG MEDIA DAN MESYUARAT PERLAWANAN | JDT VS SHANDONG LUNENG FC

Sesi mesyuarat kedua-dua pasukan bersama Komisioner Perlawanan diikuti sidang media telah diadakan menjelang pertembungan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim dan Shandong Luneng FC dalam perlawanan Liga Juara-Juara AFC 2019.

Sidang media tersebut dihadiri oleh Benjamin Mora dan Hariss Harun mewakili JDT manakala pasukan Shandong Luneng FC pula diwakili oleh Li Xiaopeng dan Graziano Pellè.

Perlawanan tersebut akan berlangsung di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin esok, 24 April 2019 jam 8.45 malam. Luaskan Kuasamu Johor.

JDT sedia `mengaum’ jumpa Shandong esok

JOHOR BAHRU: Pasukan Johor Darul Tak’zim (JDT) bersedia menampilkan aksi bertenaga dalam perlawanan peringkat kumpulan Liga-Liga Juara Asia (ACL) bertemu kelab China, Shandong Luneng FC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, di sini, esok, biarpun terdapat kemungkinan beberapa pemain tidak diturunkan berikutan kecederaan.

Ketua jurulatihnya, Benjamin Mora berkata pemain juga ketika ini berada dalam keadaan keletihan akibat jadual perlawanan yang terlalu padat bulan ini.

“Kami ada beberapa pemaina yang letih dan menghadapi masalah (kecederaan). Ini disebabkan jadual yang begitu padat bulan April ini, kerana kami beraksi dalam tiga kejohanan yang sukar dan berlangsung serentak.

“Dalam keadaan ini, kami perlu melihat pemain mana yang berada dalam keadaan terbaik untuk beraksi pada perlawanan esok,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan di sini hari ini.

Turut hadir, kapten JDT Hariss Harun dan Ketua Jurulatih Shandung Luneng, Li Xiao Peng.

Perlawanan esok adalah penentu terakhir buat skuad Harimau Selatan untuk melangkah ke pusingan kalah mati, selepas kalah dua kali dan seri (sekali) dari tiga perlawanan, setakat ini.

Sementara itu, Hariss mahukan pasukannya bangkit memperbaiki corak permainan pada perlawanan terbabit.

“Kami perlu bersedia untuk perlawanan ini, bukan sahaja secara fizikal tetapi juga aspek mental. Bermain di hadapan peminat sendiri adalah satu kelebihan besar. Jadi kami perlu tunjukkan yang terbaik,” katanya. – BERNAMA

Sumber : Berita Harian Online