Para Pemain Terengganu FC Selamat Tiba Di Johor Bahru

🏴🏳️ LS2021 #10 JOHOR DARUL TA’ ZIM vs TERENGGANU FC 🏴🏳️

📸 | Para pemain dan pegawai pasukan Terengganu FC selamat tiba di hotel penginapan bagi menghadapi pasukan JOHOR DARUL TA’ZIM dalam perlawanan ke- 10 Liga Super 2021.

TFC akui laluan getir menanti mereka di laman JDT

KUALA TERENGGANU: Tugas getir bakal menanti skuad Terengganu FC (TFC) apabila berkunjung ke Stadium Sultan Ibrahim bertemu pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) malam esok.

Ini diakui ketua jurulatihnya, Nafuzi Zain yang sedang mempersiapkan pasukan selain mencari idea terbaik buat anak buahnya untuk menyaingi skuad Harimau Selatan itu yang juga juara Liga Super tujuh musim berturut-turut.

“Kita tahu pasukan lawan (JDT) serba lengkap di setiap posisi. Jika nak dibandingkan dengan pasukan kami, ia bukan tandingan daripada segi corak permainan dan kualiti pemain mereka.

“Lagipun JDT kini berada di puncak prestasi dengan mendahului pasukan lain sejak awal lagi termasuk berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah setakat ini.

“Namun dalam sukan bola sepak apapun boleh berlaku. Saya percaya jika pemain yakin dan mampu menguasai saingan, TFC boleh melakar keputusan yang positif biarpun beraksi di tempat lawan.

“Kita harapkan barisan pemain yang diturunkan nanti terus kekal fokus dan tenang selain mengelak daripada melakukan kesilapan mudah agar tidak terjerat dengan taktikal pasukan lawan,” katanya.

Skuad Penyu yang kini mengekori JDT di kedudukan kedua liga dengan mengumpul 18 mata dilihat mampu sekurang-kurangnya mencuri satu mata di tempat lawan jika rekod terdahulu diambil kira.

Musim lalu TFC tewas 0-1 kepada skuad Harimau Selatan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin ketika aksi liga dilangsungkan hanya satu pusingan manakala pada 2019, ia terikat 2-2 ketika aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dan 3-3 di tempat lawan.

“Pemain berada pada tahap prestasi terbaik lebih-lebih lagi selepas berjaya merakam dua kemenangan berturut-turut bertemu Kedah dan terbaharu Kuala Lumpur City FC (KL City FC).

“Jadi kita harapkan pemain mampu menyerap asakan pasukan tuan rumah selain meneruskan aksi cemerlang mereka untuk mengutip mata,” katanya.

TFC dijangka mengekalkan barisan pemain sama ketika menumpaskan KL City FC 1-0 minggu lalu dengan pintu gol bakal menjadi milik penjaga gol Terengganu FC II, Mohd Suhaimi Husin manakala Makan Konate dan Dechi Marcel bergandingan di jentera tengah dengan tugas sebagai penggempur utama bakal dipikul David Da Silva.

Sumber : Berita Harian

 239 Total Views,  1 Views Today

Komen Anda?