Nelayan Vietnam Didenda Rm 1.3 Juta Ceroboh Perairan Negara

NELAYAN VIETNAM DIDENDA RM 1.3 JUTA CEROBOH PERAIRAN NEGARA

KOTA TINGGI, 12 Jun – Dua tekong bot nelayan asing warga Vietnam dijatuhi hukuman denda RM 300 ribu atau penjara selama enam bulan bagi kesalahan dibawah Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 iaitu gagal melaporkan kepada pihak berkuasa untuk memasuki Perairan Perikanan Malaysia oleh Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Johor semalam.

Seorang lagi tekong warga Vietnam dijatuhi hukuman denda sebanyak RM 600 ribu atau penjara enam bulan bagi kesalahan dibawah Seksyen 16(3) iaitu gagal melaporkan kepada pihak berkuasa untuk memasuki Perairan Perikanan Malaysia dan Seksyen 14(3)(b) iaitu vesel menggunakan huruf, nombor, atau lain-lain cara pengenalan suatu vesel penangkapan ikan yang lain Akta Perikanan 1985. Manakala 13 awak-awak juga warga Vietnam dijatuhi hukuman denda RM 30 ribu atau penjara tiga bulan setiap orang bagi kesalahan dibawah Seksyen 14(3)(b) Akta Perikanan 1985.

Ketiga-tiga bot dipulangkan kepada pemilik atau wakil pemilik. Terdahulu, ketiga-tiga bot nelayan asing tersebut ditahan Maritim Malaysia di perairan Johor Timur pada 30 April dan 1 Mei yang lalu dalam operasi membanteras nelayan asing yang mencuri hasil laut Negara.

Semua mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Zahilah binti Mohammad Yusoff dan mengambil keputusan untuk di penjara dengan tidak membayar sebarang denda. Pertuduhan telah dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya Syazana binti Abd Lajis.

Sumber : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia