Nelayan Mersing Bersyukur Dan Hargai Kurniaan Sultan Johor

Seramai 116 nelayan daripada empat kawasan di daerah Mersing bersyukur dan berterima kasih kepada DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar di atas kurniaan barangan keperluan makanan.

Jumlah penerima merupakan 38 nelayan dari kawasan Tanjung Leman, Teluk Buih (56), Kampung Bahagia (15), manakala Sungai Mersing (7).

Penerima sumbangan, Razaman Mukhtar, 57, dari Kampung Air Papan Tengah, berkata pendapatan nelayan semakin merosot disebabkan ikan di laut juga berkurangan, selain terjejas akibat penularan wabak COVID-19.

“Pendapatan kami tidak tentu, kerana tangkapan ikan di laut juga semakin berkurangan, selain berdepan keadaan cuaca tidak menentu.

“Saya amat bersyukur apabila menerima kurniaan barangan keperluan makanan daripada DYMM Sultan Johor, ia cukup bermakna kepada kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di Balai Raya Mersing Kecil, pada hari ini (7 Mac).

Kurniaan barangan keperluan makanan menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) disampaikan Yang Berhormat’ Mejar Cina Dato’ David Wong dengan kerjasama YBM Tengku Dato’ Paduka Omar yang juga Penaung Bulan Sabit Merah Malaysia Daerah Mersing.

Hadir sama, Penolong Pegawai Daerah Mersing, Encik Mohd Alif Abdul Fa’tas mewakili Pegawai Daerah Mersing.

Daulat Tuanku
Komen Anda?