Negeri Sembilan Juara Liga Perdana

🎉 Momen ketika Negeri Sembilan FC menjulang trofi Liga Premier! 🏆

Tahniah!!! Negeri Sembilan juara Liga Perdana

Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) mengesahkan kejuaraan Liga Perdana musim ini selepas menundukkan PDRM FC 4-2, dalam aksi penutup tirai saingan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan Negeri Sembilan mengumpul 41 mata selepas 20 perlawanan, manakala pesaing, Sarawak United FC di tempat kedua dengan 38 mata.

Skuad kendalian K Devan, yang sudah mengesahkan tempat ke Liga Super musim hadapan dinobatkan selaku juara selepas beraksi cemerlang sepanjang tempoh 90 minit perlawanan.

Seawal minit pertama perlawanan, tuan rumah sudah dilihat memulakan aksi dengan beberapa gerakan menarik ke kawasan kubu PDRM.

Mereka memperoleh peluang mendapatkan gol awal menerusi sepakan bola mati dari jarak kira- kira 30 meter, namun tendangan diambil Nasrullah Hanif Johan tidak menepati sasaran.

Usaha mendapatkan gol akhirnya berhasil apabila R Barathkumar meledak gol pertama Negeri Sembilan pada minit ke-25.

Gol berkenaan terhasil selepas pemain tengah itu menanduk masuk bola ketika situasi kelam kabut dalam kawasan gol PDRM menewaskan penjaga gol, Muhamad Hamka Daud.

Jaringan itu menyuntik lagi semangat pemain skuad Rusa yang turun dengan semangat juang tinggi dalam misi melakar sejarah selepas lebih 10 tahun tanpa sebarang kejuaraan selepas kali terakhir menjulang kejuaraan Piala Malaysia pada 2011.

Ketika skuad pelawat cuba bangkit merapatkan jurang terutama menerusi Bruno Suzuki, Negeri Sembilan bertindak berjaya bertahan dengan baik.

Hasil serangan pantas di sebelah kiri, tuan rumah berjaya melebarkan penguasaan jaringan apabila pemain tengah PDRM, Muhamad Eskandar Ismail tertolak bola masuk ke gawang sendiri sekali gus membantu Negeri Sembilan mendapatkan gol kedua pada minit ke-38.

Bersambung babak kedua, Negeri Sembilan terus melakukan asakan ke kubu PDRM.

Alain Thierry Akono memanfaat hantaran Muhamad Zaquan Adha Abd Radzak dalam kawasan gol dan berjaya menolak bola masuk untuk gol ketiga Negeri Sembilan pada minit ke-60.

Bagaimanapun akibat kelekaan bahagian pertahanan, PDRM berjaya merapatkan jurang menerusi gol pertama hasil rembatan padu G Durrkeswaran pada minit ke-63, sekali gus menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Damien Lim.

Anak buah Wan Rohaimi Wan Ismail terus memberi tekanan dan berjaya mendapatkan gol kedua menerusi jaringan Muhamad Azrie Reza Zamri pada minit ke-71.

Berselang empat minit kemudian, Negeri Sembilan mendapatkan gol keempat hasil tandukan cantik oleh pemain gantian Muhamad Fahmi Faizal di penjuru kanan PDRM.

Negeri Sembilan mendapat sepakan penalti pada minit ke-80, namun sepakan diambil Zaquan Adha diselamatkan Muhamad Hamka.

Kedudukan 4-2 kekal sehingga ke wisel penamat sekali gus menobatkan Negeri Sembilan sebagai juara liga mengulangi kejayaan yang pernah mereka capai pada tahun 1991.

Sumber : Harian Metro

📊 KEDUDUKAN LIGA PREMIER – LP22

TTAHNIAH NEGERI SEMBILAN FC, JUARA LIGA PREMIER 2021! 🏆

Komen Anda?