Negeri Johor Darul Ta’zim Johan Keseluruhan Majlis Tilawah Dan Hafazan Al-Quran

Sekalung Tahniah Negeri Johor Darul Ta’zim JOHAN KESELURUHAN Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1443H/2022M.

Aiman Ridhwan, Sofizah Johan Qari, Qariah Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan

Qari dari Perak, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan dan Sofizah Mousin, qariah dari Selangor masing-masing dinobatkan sebagai johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1443H/2022M yang diumumkan di Pusat Islam Iskandar, di sini malam ini.

Dengan kemenangan itu kedua-duanya membawa pulang wang tunai berjumlah RM15,000 dan tambahan RM10,000 untuk menunaikan haji serta cenderamata dan sijil penyertaan.

Naib johan pula disandang Muhammad Umar Syazuli Mohd Tahir qari dari Pulau Pinang dan qariah Sarrul Munirah Haris dari Melaka, yang masing-masing menerima RM10,000, wang tambahan RM10,000 untuk menunaikan haji, cenderamata dan sijil penyertaan.

Tempat ketiga disandang oleh Azraie Abdul Hak dari Melaka serta qariah Nurul Syafiqah Nardi dari Perak dan masing-masing menerima RM7,500, tambahan RM10,000 untuk menunaikan haji, cenderamata dan sijil penyertaan.

Acara hafazan 30 juzuk untuk hafiz, Abdullah Ulwan Ismail dari Kelantan dinobatkan sebagai pemenang, diikuti Shahrul Hanifi Shahrul Yusri dari Negeri Sembilan ditempat kedua dan Ahmad Huzaifah Ahmad Fauzi dari Selangor tempat ketiga.

Nurjahidah Hadirah [email protected] dari Johor pula diumumkan sebagai pemenang bagi hafizah, diikuti Asma’ Insyirah Salleh Sani dari Negeri Sembilan ditempat kedua dan Athirah Salihah Al-Azmi dari Wilayah Persekutuan ditempat ketiga.

Johan membawa pulang wang RM12,000 dan tambahan RM10,000 untuk menunaikan haji serta piala iringan, sementara naib johan RM8,000 dan tambahan RM10,000 untuk menunaikan haji, tempat ketiga RM6,500 dan tambahan RM10,000 untuk menunaikan haji serta sagu hati pula sebanyak RM2,000.

Acara hafazan 20 juzuk bagi hafiz pula menyaksikan Ahmad Ikmal Mohd Ridhuan dari Johor muncul sebagai pemenang, diikuti Muhammad Adib Ahmad Rozaini dari Perak ditempat kedua dan Ahmad Adil Luqman Nor Ismail dari Selangor tempat ketiga.

Bagi hafizah, Nurul Husna Abdul Aziz dari Kedah diumumkan sebagai pemenang, diikuti tempat kedua Auni Nasuha Md Noh dari Negeri Sembilan dan Aqilah Sulhi Ahmad Rozaini dari Perak ditempat ketiga.

Johan membawa pulang wang tunai RM7,000 dan tambahan RM7,000 untuk menunaikan umrah, manakala naib johan RM5,000, tempat ketiga RM3,000 dan sagu hati RM1,500.

Sementara itu, bagi kategori hafazan al-Quran 10 juzuk bahagian hafiz, Muhammad Jibril Mohd Hanafiah dari Pahang diumumkan sebagai pemenang diikuti Danish Farhan Abdul Razak dari Pulau Pinang ditempat kedua dan Muhammad Asyraf Amir dari Johor tempat ketiga.

Bagi bahagian hafizah, Fatimah Azzahra Mohd Shahrol dari Johor dinobatkan sebagai johan, diikuti Siti Nabilah Zamri dari Melaka di tempat kedua dan Nur Izzati Norazmi dari Wilayah Persekutuan tempat ketiga.

Johan membawa pulang wang RM5,000 dan piala iringan, manakala naib johan RM4,000, tempat ketiga RM2,000 serta sagu hati RM1,000.

Terdahulu Pemangku Raja Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim dan isteri Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam berkenan menyempurnakan Majlis Penutupan dan Pengurniaan Hadiah yang turut menyaksikan Johor muncul sebagai juara keseluruhan.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.

Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 12 Jun lepas dan berlangsung enam hari dengan penyertaan 110 peserta tilawah dan hafazan mewakili 14 negeri, kesemua mereka turut diadili 12 hakim tilawah dan 14 hakim hafazan.– BERNAMA

#LuaskanKuasamuJohor

PERHATIAN:- Pihak kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yg diberikan oIeh pembaca kami. Komen itu adalah menjadi tanggungjawab pemilik akaun Facebook tersebut.

LIKE & FOLLOW kami di FB page Satu Johor

Ikuti juga artikel menarik yang kami kongsikan di bawah ini.

Komen Anda?