Muncul Kali Pertama Di Hadapan Petugas SAR, IbuBapa Nora Anne Ucap Terima Kasih

VIDEO PILIHAN: UCAPAN PENGHARGAAN IBU NORA ANNE KEPADA PASUKAN SAR

Ibu kepada kanak-kanak warga Ireland yang hilang, Nora Anne Quoirin, menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih buat para petugas operasi mencari dan menyelamat (SAR) anaknya kerana telah bertungkus lumus berusaha serta sanggup mengorbankan cuti perayaan Aidiladha mereka esok.

Puan Maebh Jaseprine Quoirin bersama suami, Encik Sebastian Marie Philipe, turut meluahkan rasa kagum mereka dengan usaha dan kepakaran yang ditonjolkan pasukan SAR diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha mengesan anak perempuannya itu.

Sumber: Polis Negeri Sembilan

Terima kasih bantu cari Nora Anne

IBU kepada Nora Anne Quoirin, 15, muncul kali pertama di hadapan petugas yang terbabit dalam operasi dan menyelamat (SAR) anaknya untuk menyuarakan penghargaannya kepada semua agensi yang memberikan komitmen penuh meskipun dalam suasana perayaan.

Maebh Jaseprine Quoirin, tampil bersama suaminya, Sebastian Marie Philipe, jam 8.45 pagi tadi untuk berjumpa dengan petugas dan menyampaikan ucapan penghargaannya.

Menerusi satu video berdurasi seminit lima saat yang dirakam anggota petugas itu, Maebh kelihatan begitu beremosi sambil ditenangkan suaminya.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua, kami sedar anda melakukan pencarian siang dan malam untuk mengesan Nora Anne.

“Kami tahu anda berusaha gigih, dan sanggup mengorbankan masa terutama ketika perayaan (Aidiladha) untuk bersama kami serta mendoakan kami.

“Kami sangat menghargai usaha dan pengorbanan anda semua sama ada anggota yang berada di sini atau tidak (yang sedang bertugas),” katanya.

Ucapan pada pertemuan secara tertutup di perkarangan resort di Seremban itu, dirakam dan dikongsikan pihak polis kepada petugas media di lokasi.

Difahamkan, ini adalah kali pertama Maebh bersemuka dengan petugas dari semua agensi untuk berkongsi perasaannya sejak Nora Anne dilaporkan hilang.

Maebh turut meluahkan rasa kagum dengan usaha dan kepakaran yang ditonjolkan pasukan SAR dalam usaha mengesan anak sulungnya itu.

“Kami sangat kagum dengan usaha dan kepakaran serta dedikasi anda. Kami berharap pasukan SAR dapat menemui Nora,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Facebook Comments