Muar Pernah Mencatat Sejarah Apabila Dinobatkan Sebagai Penerima Anugerah Bandar Pelancongan Terbersih Asean

Muar bandar pelancongan terbersih di Asean

JOHOR BAHRU: Bandar Muar pernah mencatat sejarah apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Bandar Pelancongan Terbersih Asean pada Forum Pelancongan Asean 2018 di Chiang Mai, Thailand.

Bandar Diraja Johor itu turut mempunyai tarikan tersendiri baik dari sudut pelancongan domestik mahupun makanan.

Menempuh perjalanan dua jam dari Johor Bahru pasti pengalaman menakjubkan apabila singgah melawat Ladang Herba Nasuha yang terletak 19 kilometer dari Bandar Muar.

Ladang berkeluasan lebih 1,500 hektar itu mengandungi 135 jenis herba berlainan yang datang dari seluruh dunia.

Selain menjual produk tempatan seperti minuman teh herba, ada juga restoran menyajikan hidangan mengandungi herba segar dari ladang yang memberi kepuasan serta keselesaan kepada pengunjung.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, Muar turut dilengkapi aktiviti menyusuri Sungai Muar dengan bot dan pembelian tiket boleh dibuat di Jeti Tanjung Emas.

Katanya, perjalanan mengambil masa 45 minit hingga satu jam itu bermula di jeti dan menyusuri keindahan Sungai Muar.

“Pelancong boleh menikmati suasana pelayaran pada Jumaat, Sabtu dan Ahad. Manakala tiket boleh dibeli pada harga RM12 bagi dewasa warganegara, RM15 bagi bukan warganegara dan RM6 (kanak-kanak).

“Selain itu, pelancong juga boleh melakukan aktiviti Muar Walking Tour yang memperlihatkan bangunan budaya termasuk peninggalan sejarah zaman penjajah sebelum perang sehingga kini. Laluan sepanjang tujuh kilometer tarikan pelancong ini boleh diterokai dengan berjalan kaki,” katanya.

Melanjutkan cerita tarikan di daerah itu, Onn Hafiz berkata Laluan Budaya Muar atau Muar Culture Walk pula mempamerkan lebih 32 lukisan merangkumi pelbagai budaya, fakta, sejarah dan bangunan warisan di Bandar Maharani.

Katanya lukisan mural di laluan belakang bangunan komersial ini turut mempamerkan karya kreatif tiga dimensi seperti pawagam lama Muar serta warung satay yang turut dilengkapi lukisan seni bina prapeperangan yang pasti menggamit memori.

“Laluan budaya juga memberi nilai pembelajaran dan sejarah kepada pelancong. Salah satu mural terkenal adalah Loving Sisters karya artis mural Rusia, Julia Volchkova yang mempamerkan mural Indian Boatman yang menjadi ikonik di Pulau Pinang.

“Ada juga pertunjukan buskers, pertunjukan budaya serta penjualan jalanan hasil kraftangan”, katanya yang memaklumkan Muar juga popular dengan beberapa menu hidangan istimewa.

“Antaranya sarapan sate di Muar, ia hidangan unik kerana biasanya sate dinikmati pada waktu malam, tetapi di Muar, ia dihidangkan sebagai sarapan.” katanya.

Katanya, ZZ Warisan Satay Muar dibuka setiap hari kecuali Selasa bermula jam 8 pagi hingga 2.45 petang menjadi lokasi popular menu sarapan pagi. Sate dijual serendah 70 sen secucuk selain turut menghidangkan nasi lemak dan roti canai.

“Selain sate, mi bandung yang menjadi menu wajib dicuba ialah Mi Bandung Central Muar. Biarpun perlu beratur panjang, ia berbaloi untuk dinikmati. Mi bandung di kedai ini hanya dijual bermula tengah hari walaupun kedai dibuka seawal 8 pagi hingga 10 malam.

“Kopi 434 tidak perlu lagi diperkenalkan kerana pelancong pasti akan merasai pengalaman menikmati kopi ini yang terletak di Jalan Maharani. Cafe Kopi 434 memiliki keistimewaan tersendiri dengan hiasan dalaman bercirikan Norway. Di sini turut disediakan kopi istimewa, antaranya Kopi Gajah, Kopi Asli 434 dan Kopi Monalisa.

“Bagi masyarakat Cina, Muar sangat gah dengan kewujudan Gluttony Street Muar. Ia menjadi antara tarikan tertua kulinari di sini sejak 1952. Antara menu terkenal ialah tiram goreng, teh herba klasik, kuih beras air atau Chwee Kueh. Ia dibuka lewat petang dan berakhir jam 8 malam,” katanya.

Onn Hafiz berkata, dengan pelbagai daya tarikan lokasi dan makanan yang di daerah ini, pastinya pelancong perlu menginap beberapa malam.

Katanya, pelancong boleh memilih bermalam sama ada inap desa atau hotel.

“Pilihan penginapan menarik di Muar ialah Homestay Galeri Seni Pop Chuco yang berkonsepkan kafe dengan ruang penginapan serta pesona tempatan dengan seni serta mural abstrak menarik. Selain itu, Hotel PPT Muar juga menyediakan penginapan dilengkapi kemudahan moden dengan harga berpatutan bermula RM98 hingga RM231,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Satu lagi Daya Tarikan Baru Di Daerah Muar, Bandar Maharani Bandar DiRaja… Makin meriah Tanjung Emas…

Muar River Cruise

https://www.facebook.com/satujohor/videos/996538510704605/?vh=e&extid=7CHlTA5cEgwNV0lS

 51 Total Views,  1 Views Today

Komen Anda?