fbpx

MFL Sambut Baik Langkah JDT

MFL SAMBUT BAIK LANGKAH JDT

Malaysian Football League (MFL) ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila mengambil langkah cukup murni dengan menyalurkan sumbangan kepada Tabung Bencana Negeri Johor menerusi derma sebahagian daripada gaji para pemain, jurulatih dan kakitangan mereka.

Ketika dunia berdepan pandemik COVID-19 di mana hampir semua kelab bola sepak di dunia sedang diuji dengan masalah kewangan, seluruh warga JDT pula menunjukkan sikap keprihatinan cukup tinggi apabila bersetuju melaksanakan pemotongan gaji 33 peratus bagi meringankan beban masyarakat kesan daripada penularan wabak yang semakin serius di negara ini.

Inilah semangat ‘Fair Play’ yang tersemai di mana tindakan pemotongan gaji itu juga dilihat sebagai langkah penjimatan untuk seluruh warga JDT membantu kewangan kelab yang pastinya turut menerima tempias akibat wabak COVID-19 apabila saingan Liga Malaysia musim 2019 terpaksa ditangguhkan sejak 16 Mac lalu.

Jelas pendekatan pihak pengurusan JDT yang mengadakan perbincangan bersama pemain, jurulatih dan kakitangan mereka membuahkan kata sepakat untuk mengharungi detik sukar bersama.

MFL berharap supaya semangat ini akan dapat diterjemahkan juga oleh pasukan-pasukan dan pemain-pemain lain dalam Liga Malaysia demi untuk kebaikan semua.

Kami di pihak MFL amat mengalu-alukan pendekatan ini dan ia juga selari dengan seruan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang mahu pemegang taruh bola sepak Malaysia agar mengintai jalan dalam usaha menangani masalah kewangan kelab disebabkan wabak COVID-19.

Ini kerana ketiadaan upaya untuk menjana pendapatan daripada jualan tiket, penajaan atau sokongan daripada pihak kerajaan, kestabilan kewangan pasukan pasti terjejas apabila Liga Malaysia ditangguhkan akibat wabak COVID-19.

Akhir kata, MFL turut ingin menjunjung kasih dan merakamkan tahniah kepada pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor yang sentiasa peka dalam usaha membantu bukan sahaja kepada pasukan barisan hadapan COVID-19 sebaliknya kepada semua lapisan masyarakat.

Apa yang diharapkan di sini agar kelab dan pasukan tempatan yang lain dapat mengikut jejak langkah JDT dalam semua aspek khususnya pengurusan kewangan dalam kita sama-sama mengharungi detik sukar akibat penularan wabak COVID-19.

KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF MALAYSIAN FOOTBALL LEAGUE
DATO’ AB GHANI HASSAN

Komen Anda?