MFL, Puma Jalin Kerjasama

MFL, Puma perkenalkan bola perlawanan edisi khas

Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) muncul liga pertama di Asia menghasilkan bola perlawanan edisi khas bersama pengeluar jenama sukan terkenal antarabangsa, Puma.

Kerjasama antara MFL dan Puma itu termeterai hari ini dengan perjanjian panjang sehingga 2024 yang menyaksikan Puma bakal menjadi pembekal bola pertandingan rasmi bagi semua pertandingan di bawah kendalian MFL.

Perjanjian itu akan bermula pada pertandingan Piala Malaysia hujung bulan ini diikuti saingan lain seperti Piala Sumbangsih, Liga Super, Liga Perdana, Piala FA dan Piala Cabaran selepas ini.

“Tajaan ini menandakan kepercayaan dan keyakinan jenama sukan global Puma terhadap jenama dan kualiti Liga Malaysia yang menyaksikan peningkatan dari tahun ke tahun,” kata Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan.

Beliau menambah, “MFL amat gembira dengan perkongsian jangka panjang ini dengan Puma dan Active Sports di kala kami berdepan cabaran akibat pandemik Covid-19. Oleh itu, kami melihat ini sebagai kekuatan semua jenama kami,” katanya.

Untuk rekod, bola pertandingan rasmi edisi khas MFL untuk Piala Malaysia musim ini bakal menggabungkan teknologi terkini yang dibangunkan oleh Puma, direka untuk melengkapkan pelbagai gaya permainan selain menampilkan logo Piala Malaysia 100-tahun.

Sementara itu, Pengurus Besar Puma Malaysia, Steven Tan mengakui gembira dengan kerjasama yang terjalin itu.

“Selaras dengan gerakan global ‘Faster Football’ yang baharu dilancarkan, kami percaya bahawa kerjasama ini akan membuktikan komitmen kami untuk mendorong komuniti bola sepak tempatan bergerak ke hadapan dan menjadi inspirasi bagi semua anak muda Malaysia.

“Tujuan utama kami adalah untuk mengatasi halangan dan cabaran, dengan mempercepatkan permainan menerusi produk inovatif – dan ini adalah dorongan kami dalam mencapai Faster Football,” kata Steven.

Sumber : Harian Metro

Nafas baharu untuk piala yang penuh tradisi… 🏆Inilah bola rasmi sempena ulang tahun ke-100 Piala Malaysia, PUMA Final 1!

MFL menjadi liga bola sepak pertama di Asia menggunakan bola perlawanan edisi khas PUMA! 🔥

Komen Anda?