Merasmikan Dan Melancarkan Buku Pelan Induk Johor Sebagai Pusat Tamadun Melayu Antarabangsa

Merasmikan dan melancarkan Buku Pelan Induk Johor Sebagai Pusat Tamadun Melayu Antarabangsa pada petang tadi di Yayasan Warisan Johor.

Sudah tiba masanya kita pastikan usaha mempromosi dan memulihara budaya dan cara hidup orang Melayu dengan lebih teratur dan berfokus. Bukan sahaja orang Melayu di Johor tetapi di rantau Nusantara.

Saya yakin dengan keunikan yang ada pada Melayu di Johor. Maka dengan penglibatan semua pihak, kita dapat menjadikan negeri ini sebagai pusat antarabangsa tamadun Melayu.

Johor lancar Pelan Induk Pusat Tamadun Melayu Antarabangsa

JOHOR BAHRU: Johor menjadi negeri pertama yang merangka dan melancarkan Pelan Induk Pusat Tamadun Melayu Antarabangsa sebagai usaha membangun serta dokumentasi secara teratur sejarah dan kejayaan bangsa Melayu.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, berkata pelan itu mempunyai sembilan teras strategik yang merangkumi semua aspek penting dalam pembangunan dan pemerkasaan Tamadun Melayu Johor. 

Katanya, sembilan aspek berkenaan adalah Institusi Islam dan Kesultanan Melayu, ekonomi Melayu, iltizam politik, Bahasa dan Persuratan Melayu, Pelancongan Warisan dan Budaya, warisan budaya Johor, pendidikan dan pengislahan awam, pustaka warisan digital dan kepemimpinan Melayu Johor.

“Kesemua teras strategik ini dapat mewakili semua aspek penting dalam pembangunan dan pemerkasaan Tamadun Melayu Johor itu sendiri.

“Pelan Induk Johor itu dibangun dan dijayakan pasukan penggubal serta penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

“Bagi menjayakan pelaksanaan pelan induk ini, konsep ‘Projek Berjenama’ diperkenalkan yang bertujuan untuk mengangkat aspek tamadun Melayu Johor melalui aktiviti berterusan malah kerjasama dengan Melayu Nusantara terutama di Brunei, Indonesia, Singapura dan Selatan Thailand akan dijalinkan dengan lebih rapat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran buku Pelan Induk Johor sebagai Pusat Tamadun Melayu Antarabangsa 2021-2025, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat; Pengarah Yayasan Warisan Johor, Sharil Nizam Abdul Rahim dan Ketua Penyelaras Projek, Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain.

Mengulas lanjut, Hasni berkata, Johor akan menubuhkan satu Jawatankuasa Pemandu Pelan Induk Johor sebagai Pusat Tamadun Melayu Antarabangsa 2021-2025 bagi membangun dan mempromosi kebijaksanaan bangsa dan dunia Melayu.

Katanya, jawatankuasa itu akan berperanan memantau dan melaporkan pelaksanaan pelan induk kepada kerajaan negeri dari semasa ke semasa.

“Kerajaan Johor masih meneliti keanggotaan jawatankuasa berkenaan namun pelan induk ini sewajarnya menjadi jalan pencerahan untuk kita menghidupkan Tamadun Melayu. 

“Saya harap pelan induk ini janganlah hanya menjadi dokumen ‘meja kopi’. Ia harus menjadi pelan induk untuk membangun dan mempromosi ‘kearifan’ bangsa Melayu dan dunia Melayu,” katanya.

Sumber : Berita Harian