Menteri Kesihatan Malaysia Mengadakan Lawatan Kerja Ke Pusat Kuarantin Di MAEPS

Serdang, 3 April 2020 – YB Dato’ Sri Adham Baba, Menteri Kesihatan Malaysia telah mengadakan Lawatan Kerja ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di MAEPS hari ini.

Turut hadir sama YBhg Datuk Dr Hj Rohaizat bin Hj Yon, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), KKM dan YBrs Dr Hishamshah Bin Mohd Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal).

Sebagai salah satu usaha proaktif Kerajaan untuk mempersiapkan kemudahan kesihatan bagi menghadapi penularan wabak COVID19, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID19 Berisiko Rendah MAEPS ini telah dibangunkan.

Pembangunan Pusat ini merupakan cetusan idea YAB Perdana Menteri sendiri. Pembangunannya telah dilaksanakan dengan pantas iaitu dalam tempoh tiga (3) hari sahaja, hasil kerjasama rapat di antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan Kementerian Kesihatan Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia serta lain-lain agensi Kerajaan.

Buat masa ini, hospital dan lain-lain kemudahan seperti institut latihan KKM serta lain-lain kemudahan yang telah dikenalpasti masih dapat menampung jumlah pesakit yang kian meningkat.

Pembangunan Pusat seperti ini adalah usaha Kerajaan bagi menghadapi semua kemungkinan yang akan timbul jika penularan wabak ini semakin meluas. Keselamatan dan kesejahteraan Rakyat menjadi agenda utama Kerajaan semasa menguruskan pandemik COVID19 ini.

Pusat ini dapat menampung seramai 604 pesakit yang akan ditempatkan di Dewan A (400) dan Dewan C (204). Hanya pesakit COVID-19 yang stabil, tidak mempunyai gejala atau gejala yang ringan sahaja (stable asymptomatic and mild) akan ditempatkan di sini.

Pesakit dari sekitar Lembah Klang dan jika perlu dari Negeri Sembilan atau Perak juga boleh dipindahkan ke Pusat ini bagi meneruskan rawatan dan pemerhatian (step-down care) sehingga pesakit sembuh sepenuhnya. Dengan cara ini, pesakit COVID19 yang keadaannya lebih memerlukan akan dapat terus dirawat dan ditumpukan di hospital-hospital COVID19.

Serdang, 3 April 2020 – YB Dato' Sri Adham Baba, Menteri Kesihatan Malaysia telah mengadakan Lawatan Kerja ke Pusat…

Posted by KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA on Jumaat, 3 April 2020

Komen Anda?