MB Johor Tinjau Mangsa Banjir

MB Johor tinjau mangsa banjir, janji bantuan terbaik

KOTA TINGGI: Kerajaan Johor akan mencari jalan terbaik dalam menjaga kebajikan mangsa banjir di lapan daerah di negeri ini. 

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, berkata kerajaan negeri akan cuba sedaya upaya memastikan pusat pemindahan sementara disediakan kemudahan asas yang lengkap. 

“Saya berharap mangsa banjir banyakkan bersabar dalam menghadapi dugaan ini. Jangan bimbang, kerajaan akan menjaga kebajikan keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan.

“Pada masa sama, saya berharap orang ramai memberi kerjasama kepada jabatan yang berkaitan ketika berada di pusat pemindahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Terdahulu, Hasni bersama Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Mohamed Sadique yang juga Menteri Perpaduan Negara, meninjau pusat pemindahan sementara disediakan untuk mangsa banjir di sekitar Kota Tinggi.

Pusat berkenaan dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Kota Jaya, Sekolah Menengah Agama (SMA) Taman Kota Jaya, Sekolah kebangsaan (SK)Taman Kota Jaya dan Sekolah Kebangsaan Laksamana. 

Hasni kemudian mengunjungi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Layang yang terletak di daerah Simpang Renggam bagi melawat mangsa daerah berkenaan yang dipindahkan ke situ. 

Banjir yang melanda Johor menjejaskan lapan daerah dan setakat tengah hari tadi, membabitkan 6, 991 mangsa daripada 1,841 keluarga.

Menteri Besar

Melawat penduduk yang terkesan dengan bencana banjir di Pusat Penempatan Sementara (PPS) SMK Taman Kota Jaya, SMA Taman Kota Jaya, SK Taman Kota Jaya dan SK Laksamana Kota Tinggi pagi tadi.

Kerajaan Negeri akan sedaya upaya memastikan PPS dilengkapi dengan kemudahan asas yang cukup. Juga kebajikan keluarga-keluarga yang ditempatkan di PPS ini akan kita jaga dengan sebaiknya.

Semoga tabah menghadapi ujian ini dan sama-sama kita berdoa agar musibah ini berlalu segera.

Komen Anda?