MB Johor Menerima Kunjungan Hormat Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Khairy Jamaluddin

Menerima kunjungan hormat Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YB Khairy Jamaluddin di Kota Iskandar tengahari tadi. Seterusnya mempengerusikan secara bersama Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) Peringkat Negeri Johor.

Antara yang dibincangkan adalah sebuah aplikasi khas akan diwujudkan dikenali sebagai “ImmuPlan Johor” yang akan dibangunkan oleh Kerajaan Negeri Johor.

Aplikasi ini merupakan sebuah program yang dikhususkan kepada rakyat Malaysia yang berulang-alik ke Singapura. Bagi permulaan seramai 100,000 orang dicadangkan untuk menerima vaksinasi menerusi pendaftaran aplikasi ini.

Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari masa ke masa.

APLIKASI IMMU PLAN JOHOR BAGI INDIVIDU ULANG-ALIK MALAYSIA-SINGAPURA

KOTA ISKANDAR, 4 April: Kerajaan Negeri Johor akan membangunkan sebuah aplikasi khas pendaftaran bagi rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura untuk mereka mendapatkan suntikan vaksin (awal) daripada kerajaan pusat.

Menteri Besar Johor, Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, aplikasi itu dibangunkan ekoran program khas yang diwujudkan kerajaan pusat untuk memberi vaksin kepada 100,000 individu dari Malaysia yang bekerja di Singapura.

”Aplikasi yang dikenali sebagai Immu Plan Johor itu turut melibatkan pendaftaran pelajar dan penjaga mereka yang berulang-alik dari negara ini ke negara jiran berkenaan.

“Aplikasi ini sedang dibangunkan. Pada peringkat awal ini, Kita (Kerajaan Negeri Johor) berharap Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi Inovasi (MOSTI) dapat menimbangkan program ini dan jumlah individu yang akan menerima suntikan menerusi program khas ini seperti yang telah disyorkan Kerajaan Negeri Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan mesyuarat dengan Menteri MOSTI, YB Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, di sini hari ini.

YAB Menteri Besar berkata, proses vaksinasi menerusi program tersebut bagaimanapun bergantung pada jumlah vaksin yang diterima negara ini.

“Saya mengikuti rapat laporan daripada MOSTI berkenaan kemasukan vaksin secara berperingkat ke negara ini.

“Sebaik sahaja jumlah vaksin ini membolehkan program khas ini dilaksanakan, saya berharap MOSTI dapat memberi pertimbangan untuk program ini,” katanya.

Sementara itu, YB Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berkata, beliau menyambut baik cadangan daripada Kerajaan Negeri Johor bagi pembangunan aplikasi berkenaan.

“Apa yang dapat dilihat menerusi pembangunan aplikasi ini, kita boleh integrasikan senarai pendaftaran daripada aplikasi ini dengan MySejahtera, ia tidak menjadi permasalahan.

“Aplikasi Immu Plan Johor ini digunakan untuk menyenaraikan mereka yang berulang alik dari Singapura. Kita boleh mengambil data itu untuk dimasukkan ke dalam aplikasi MySejahtera untuk beri mereka mendapatkan temujanji penerimaan vaksin,” katanya.

Sumber : Makmur Johor

 58 Total Views,  1 Views Today

Komen Anda?