fbpx

Malaysia Di Uji

Di saat ini, rakyat Malaysia diuji untuk MEMATUHI ARAHAN.
Kerajaan telah isytihar Perintah Kawalan Pergerakan. Masih ramai yang keluar berkeliaran. Masih ada yang berdegil membuat majlis keramaian. Masih ada yang rasa rugi untuk tangguh majlis perkahwinan. Masih ada yang bersuka ria di taman permainan. Apa salahnya kamu semua ikut arahan. Kerana ini sahaja cara untuk mencegah kenaikan angka kematian. Tidak perlu terang-terangan tonjolkan kedegilan. Jangan pula tunjukkan kebodohan. Hanya yang dipinta untuk mengikut nasihat pihak keselamatan. Untuk terus duduk di rumah dan kawal pergerakan.

Di saat ini, rakyat Malaysia diuji dengan KEJUJURAN.
Covid-19 bukan lah satu mainan. Malah ia juga bukan satu jenaka yang perlu disebarkan. Barangsiapa yang mempunyai simptom wajib tampil ke hadapan. Tidak perlu takut, tidak perlu malu dan tidak perlu segan. Itu juga yang diminta oleh Kementerian Kesihatan. Ini semua demi kepentingan keseluruhan. Supaya covid-19 tidak berlarutan. Supaya kita semua akan temu kesejahteraan di masa hadapan. Kita semua merayu supaya kejujuran yang perlu disampaikan. Supaya wabak ini tidak melibatkan staf-staf kesihatan. Kasihanilah mereka yang tidak berdosa dan jangan beri beban. Ingatlah wahai rakyat Malaysia, mencegah itu lebih baik dari memberi rawatan.

Di saat ini, rakyat Malaysia diuji dengan PERPADUAN.
Tidak kira apa bangsa, dari negeri mana sekalipun, kita perlu terus kekal bersatu untuk terus mengikut arahan. Berada di dalam rumah adalah satu-satunya permintaan. Sebelum ini negara kita telah dilanda pelbagai ujian. Pihak kerajaan juga telah diduga dengan pelbagai cabaran. Marilah kita semua berganding bahu dan sama-sama buktikan. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh, itu yang perlu kita utamakan. Supaya negara kita akan kekal bersih dari wabak dan dikurniakan kesihatan. Supaya kita semua sentiasa berada di dalam lindungan Tuhan.

Di saat ini, seluruh Malaysia punya WIRA YANG TIDAK DIDENDANG.
Mereka yang berhempas pulas membanting tulang. Mereka yang bekerja keras supaya wabak ini tidak berulang. Ada yang sentiasa di tempat kerja tidak pulang-pulang. Ada juga yang ikhlas bekerja tapi ditimpa malang. Tidak dilupakan badan beruniform yang setia berjuang. Berpanas berhujan untuk tujuan menghalang. Meronda kawasan memantau dan mengusir rakyat untuk segera pulang. Mereka-mereka ini kita perlu julang. Kerana keikhlasan yang diberikan tidak mementingkan wang. Didoakan mereka semua agar mempunyai kekuatan seperti badang. Supaya terus menerus berkhidmat pada masa akan datang.

Semoga seluruh rakyat Malaysia sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera.
Semoga kita semua terus menerus berdoa kepada Yang Maha Esa.
Semoga yang bertugas dikurniakan hati yang cekal dan tidak berputus asa.
Semoga seluruh makhluk Tuhan dihindari dari segala malapetaka.

“Dengan nama Allah, yang tidak memberikan mudarat sesuatu di bumi juga di langit, dan Dia maha mendengar lagi maha mengetahui”

Sumber : Farkhan Khair

Komen Anda?