fbpx

MAINJ Tetapkan Zakat Fitrah 2019 Dengan Kadar RM7.00 Dan RM10.00

Zakat fitrah Johor RM7, RM10

MAJLIS Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menetapkan kadar zakat fitrah pada dua harga iaitu RM7 dan RM10 bagi tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan berkata, penetapan harga fitrah adalah berdasarkan harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan kebanyakan penduduk Islam di Johor, pada kadar timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram.

Katanya, kadar RM7 bagi umat Islam di negeri ini yang menjadikan makanan hariannya beras daripada jenis Super Tempatan, manakala kadar RM10 bagi umat Islam di Johor yang menjadikan makanan hariannya beras selain jenis Super Tempatan seperti beras wangi dan beras basmathi.

“Seramai 1,659 amil fitrah dilantik dan diberi tauliah bagi menjalankan tugas memungut fitrah di seluruh negeri ini, selain pelantikannya mengikut kawasan di setiap daerah bertujuan memudahkan umat Islam.

“Sebanyak RM16 juta dengan anggaran dua juta umat Islam di Johor akan membayar zakat fitrah bagi tahun 1440H/ 2019M.

“Seramai 60,000 golongan fakir dan miskin akan memperoleh bantuan hari raya disampaikan MAINJ, selain bayaran kepada mereka akan disampaikan menerusi amil pada pertengahan ramadan bagi membolehkan urusan persiapan raya,” katanya pada sidang media di Pusat Islam Iskandar Johor, Johor Bahru, hari ini.

Aminolhuda berkata, 15,381 penerima bantuan sara hidup bulanan MAINJ menerusi agihan wang fidyah mengikut data terakhir pada Disember lalu.

Katanya, sumbangan diberi sebanyak RM150 setiap individu dengan agihan sebanyak RM2,307,150 dan kaedah pelaksanaan adalah menerusi akaun penerima, selain cadangan pelaksanaannya bermula April ini.

“Adalah menjadi kesalahan tidak membayar zakat dan memungut zakat tanpa kebenaran seperti mana termaktub dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor Tahun 1997,” katanya.

Sumber : Harian Metro

MAINJ Tetapkan Zakat Fitrah 2019 Dengan Kadar RM7.00 Dan RM10.00

Panduan Pembayar

Umat Islam yang bermukim di Negeri Johor wajib menunaikan zakat fitrah di Negeri Johor

Bayaran fitrah hendaklah dibayar kepada amil bertauliah dan mempunyai kad kuasa amil daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor.

Pastikan setiap bayaran Zakat Fitrah mendapat resit rasmi Majlis Agama Islam Negeri Johor.

Anda digalakkan menunaikan Zakat Fitrah di awal Ramadhan bagi membolehkan agihan kepada fakir dan miskin disempurnakan sebelum Hari Raya.

Sabda Rasulullah S.A.W maksudnya:

” Rasulullah S.A.W mewajibkan Zakat Fitrah kerana ia membersihkan kekotoran (dosa) orang-orang yang berpuasa dan memberi makanan (juadah) kepada orang-orang miskin, dan barang siapa menunaikannya (Zakat Fitrah) sebelum solat hari raya, maka ia adalah zakat yang diterima dan barangsiapa yang menunaikannya (Zakat Fitrah) selepas solat hari raya, ia menjadi sedekah-sedekah biasa (bukan Zakat Fitrah)”

Hadith Riwayat: Abu Daud & Ibnu Majah

Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al-Mubarak

Semoga ibadah puasa yang dilaksanakan pada tahun ini lebih baik daripada tahun-tahun yang lalu. 

Rebutlah Keberkatan Ramadhan Dengan Berpuasa dan Berzakat

Sumber : MAINJ

Komen Anda?