MA’AL HIJRAH, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah Tokoh Ma’al Hijrah Kebangsaan 2020

MA’AL HIJRAH | Tan Sri Datuk Dr Noor Hisham Tokoh Ma’al Hijrah Kebangsaan 2020

Salam Ma’al Hijrah 1442H / 2020M

Tokoh Maal Hijrah 1442H Peringkat Kebangsaan
Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah

Tokoh Maal Hijrah 1442 Peringkat Antarabangsa
Fadhilatul Imam Al-Akbar Syeikh Dr. Ahmad Muhammad Al-Toyyib

Dr Noor Hisham Tokoh Maal Hijrah 1442H

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1442H.

Selain itu, Syeikh Al-Azhar, Prof Dr Ahmad Tayyib pula diumumkan Tokoh Antarabangsa Maal Hijrah 1442H.

Pengumuman itu dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1442H/2020M di Masjid Negara, Kuala Lumpur, hari ini.

Menerusi penganugerahan itu, tokoh Maal Hijrah Kebangsaan dan Antarabangsa menerima pingat serta sijil penghargaan Kerajaan Malaysia.

Hadiah kepada tokoh terbabit disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dr Zulkifli berkata, pemilihan kedua-dua tokoh itu dibuat atas sumbangan besar mereka dalam memartabatkan Islam di peringkat nasional dan global yang diiktiraf pelbagai pihak di peringkat tempatan serta antarabangsa.

Tema sambutan kali ini ialah ‘Ummah Rabbani Negara Harmoni’ iaitu menguruskan penghijrahan yang berlaku dalam masyarakat memerlukan kepada kekuatan modal insan, ilmu dan pengetahuan serta kecekapan pengurusan.

Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1442H/2020M diadakan dalam suasana norma baharu.

Majlis sambutan dimulakan dengan tayangan video khas Maal Hijrah diikuti ucapan aluan dan pengumuman tokoh Maal Hijrah peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa oleh Zulkifli.

Selepas itu, Yang di-Pertuan Agong berkenan menyampaikan anugerah kepada tokoh Maal Hijrah Kebangsaan, Dr Noor Hisham.

Prof Dr Ahmad Tayyib tidak hadir berikutan penutupan sempadan negara akibat COVID-19.

Majlis disusuli bacaan tahlil dan doa selamat kemudiannya doa akhir dan awal tahun yang dipimpin Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni.

Selesai solat Maghrib dan solat hajat, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri berangkat pulang.

Sementara itu, Dr Noor Hisham ketika ditemui menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan atas kurniaan anugerah itu.

“Sebagai seorang pakar bedah, saya mungkin boleh menyelamatkan satu nyawa pada satu masa. Tapi dalam pentadbiran iaitu kesihatan awam kalau perancangan betul, kita boleh menyelamatkan satu negara.

“Saya berasa terharu dan teruja menerima anugerah ini. Tapi saya mewakili KKM dan kakitangan yang bekerja di sebalik tabir untuk menjalankan tugas memutuskan penularan jangkitan COVID-19.

“Bekerjalah kita sebagai satu pasukan membantu negara kita. Kita jaga kita, kita jaga masyarakat kalau bukan kita yang mengawal pandemik ini siapa lagi. Insya-Allah kita akan menang,” katanya.

Dr Noor Hisham dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) pada 29 Januari 2008.

Beliau kemudian menjadi Ketua Pengarah Kesihatan sejak 1 Mac 2013.

Dr Noor Hisham berkelulusan Doktor Perubatan pada tahun 1988 dan Master of Surgery M.S (UKM) pada 1994. Beliau juga Felo Academy of Medicine Malaysia (FAMM) 2004 dan turut mempunyai kelulusan Program Pengurusan Lanjutan, Oxford Business School, UK 2008.

Prof Dr Ahmad pula dilantik sebagai Syeikh Al-Azhar pada tahun 2010 hingga sekarang.

Beliau pernah dilantik sebagai Dekan Fakulti Pengajian Islam dan Bahasa Arab di Wilayah Qena pada 27 Oktober 1991 hingga 31 Ogos 1991 dan Dekan Fakulti Pengajian Islam (lelaki) di Wilayah Aswan, pada 15 November 1995.

Pada 10 Mac 2002 hingga 27 September 2003, beliau juga menjadi Mufti Negara bagi Republik Arab Mesir dan kemudian menjadi Rektor Universiti Al-Azhar bermula 28 September 2003 hingga 19 Mac 2010.

Sumber : Berita Harian

Photo By : FB Jabatan Perdana Menteri

Photo By : FB Jabatan Perdana Menteri

 33 Total Views,  2 Views Today

Komen Anda?