Lebuh Raya Tertinggi Di Malaysia Kini Dibuka

Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus di Paya Terubong secara rasminya dibuka kepada orang ramai bermula Khamis. Dengan ketinggian 61.5 meter, ia bakal menjadi ikon Pulau Pinang selaku lebuh raya paling tinggi di Malaysia dan dijangka dapat mengurangkan kesesakan jalan raya di negeri itu sehingga 30 peratus.

Photo by Sofirgb Drone

Laluan lebuh raya tertinggi di Malaysia dibuka

Laluan Jalan Berkembar Paya Terubong di Jalan Bukit Kukus di sini, dibuka kepada orang ramai bermula, hari ini, selepas mengambil masa selama enam tahun bagi disiapkan. 

Lebuh raya tertinggi di Malaysia itu dibina bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan trafik sebanyak 30 peratus dan memberi manfaat kepada kira-kira 60,000 pengguna jalan raya setiap hari. 

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, laluan yang dibuka adalah konsesi yang disiapkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) membabitkan laluan sejauh 3.825 kilometer (km) dengan jumlah kos sebanyak RM378.2 juta.

“Istimewanya projek berkenaan ialah terdapat satu laluan dengan ketinggian 61.5 meter menjadikan ia sebagai lebuh raya paling tinggi di Malaysia.

“Kerja pembinaan yang bermula pada 14 Januari 2016 itu siap pada 24 Disember tahun lalu dan membabitkan beberapa skop pembinaan,” katanya yang ditemui selepas melawat tapak dan flag-offsebagai simbolik perasmian laluan berkenaan, di sini. 

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri Zairil Khir Johari, Datuk Bandar Pulau Pinang Yew Tung Seang dan Setiausaha Bandaraya MBPP Ir A Rajendran.

Photo by Sofirgb Drone

Sebelum ini Harian Metro melaporkan projek berkenaan sudah tertangguh beberapa kali kerana insiden tanah runtuh, kekangan pandemik Covid-19 dan beberapa isu teknikal yang membabitkan kerja tambahan.

Dalam perkembangan sama, Yew berkata, ia menjadi jalan alternatif kepada penduduk di kawasan Paya Terubong dan Air Itam bagi berhubung ke kawasan Bukit Jambul, Bukit Gambir, Balik Pulau dan sekitarnya.

“Turut disediakan ialah lorong basikal di sepanjang jejambat jalan berkenaan bagi memberi peluang kepada penggemar sukan berbasikal menjalankan aktiviti ini di jejambat tertinggi.

“MBPP juga merancang bagi membina kawasan rekreasi di sini untuk memberi kemudahan kepada orang ramai beriadah,” katanya lagi. 

Menurut Rajendran pula, jalan itu dibina mengikut standard yang ditetapkan daripada segi keselamatan, had kelajuan dan lain-lain lagi.

“Selain Jabatan Kerja Raya (JKR), kita juga melantik bahagian geologi bagi mengkaji keselamatan bahagian cerun di sini, ” katanya. 

Projek lebuh raya sepanjang 5.5 kilometer (km) itu menelan belanja sebanyak RM545.6 juta, terdiri daripada tiga bahagian yang menghubungkan Paya Terubong dan Relau.

Secara keseluruhannya, tiga bahagian itu membabitkan MBPP, syarikat Geo Valley Sdn Bhd Development dan syarikat PLB Land Sdn Bhd.

Dua bahagian oleh syarikat swasta PLB Land Sdn Bhd dan Geo Valley Sdn Bhd bagi baki laluan masing-masing sepanjang 1.4 km dan 0.8 km, tidak akan siap tahun ini, manakala bahagian tanah PLB dijangka siap pada 2025.

Sumber : HMetro

Laluan itu merupakan alternatif kepada penduduk di kawasan Paya Terubong dan Air Itam untuk berhubung dengan kawasan Bukit Jambul, Bukit Gambir, Balik Pulau dan kawasan sekitarnya..

Komen Anda?