Lautan ‘Hijau Kuning’ Menanti Harimau Selatan Jumaat Ini

Lautan ‘Hijau Kuning’ menanti Harimau Selatan

KELAB-kelab Penyokong Bolasepak Kedah atau G32 menyeru penyokong Kedah memenuhi Stadium Darul Aman, Alor Setar bagi menjayakan kempen ‘satu penyokong satu bendera’ pada perlawanan Liga Super Kedah menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), Jumaat ini.

Kempen mengibarkan bendera warna hijau kuning itu bukan sahaja bakal menyuntik semangat untuk pemain Kedah dalam usaha memburu kemenangan di laman sendiri namun dapat menaikkan semangat puluhan ribu penyokong di stadium itu pada hari perlawanan.

Menurut wakil kepada jurucakap Kelab-Kelab Penyokong Bolasepak Kedah G32, Azmi Abdullah, rancangan mengadakan kempen bersama pasukan, hari ini adalah sebagai tanda kesetiaan dan tanggungjawab pemain ke-12 memberi motivasi terhadap Kedah yang akan turun berdepan pendahulu liga iaitu JDT.

“Perancangan kita lakukan dimulakan dengan acara simbolik iaitu penyerahan bendera kepada ketua jurulatih Kedah dan semua pemain Kedah selepas mereka mengadakan latihan di Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH).

Bagi tidak memiliki bendera sendiri pada hari perlawanan, jualan bendera hijau kuning dengan potongan harga menarik akan diadakan di gerai berdekatan kaunter tiket bagi memudahkan penyokong mendapatkannya.

“Kami mahu semua penyokong Kedah bersama-sama menjayakan perancangan diatur dalam menghidupkan suasana stadium dengan kibaran bendera hijau kuning pada hari perlawanan,” katanya.

Azmi memberitahu ia adalah inisiatif serta usaha kelab penyokong mahu menghidupkan suasana hijau kuning dalam stadium.

“Selain menunjukkan kesetiaan kepada pasukan Kedah kami mahu ‘mewarnakan’ Stadium Darul Aman dengan warna hijau kuning apabila bendera itu dikibarkan pada perlawanan.”

Selain bendera, penyokong diseru memakai baju warna hijau kuning.

Ketua Jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak turut berbangga dengan usaha dilakukan Kelab Penyokong Kedah.

“Sokongan serta kempen ‘satu penyokong satu bendera’ sungguh bermakna buat kami bakal menentang JDT.” katanya.

Sumber : Harian Metro

LIGA SUPER MALAYSIA 2019 | Kedah FA VS JOHOR DARUL TA’ZIM

Perlawanan Liga Super Malaysia 2019 antara Kedah FA menentang Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) akan berlangsung Jumaat, 29 Mac 2019 di Stadium Darul Aman jam 9.00 malam.

Ayuh berikan kata-kata semangat dan sokongan anda selaku penyokong untuk para pemain Harimau Selatan dalam aksi perlawanan ini. Luaskan Kuasamu Johor.


JDT MAHU KEKALKAN KEDUDUKAN TERATAS LIGA DENGAN KEMENANGAN DI ALOR SETAR

Setelah mengharungi enam perlawanan Liga Super Malaysia 2019 dan berjaya mengutip 16 mata dari 18 mata maksimum, kini Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) akan berkunjung ke Alor Setar untuk bertemu Kedah pada 29 Mac 2019.

Tempoh rehat tiga minggu digunakan para pemain untuk berehat dan melakukan sesi pemulihan. Barisan kejurulatihan juga sibuk merencana strategi serta memperbaiki beberapa kelemahan yang sudah dikenalpasti.

Selain itu, pasukan juga telah kembali menjalani latihan rutin bagi memastikan tahap kecergasan berada di tahap optimum. Pemain yang dipanggil ke kem kebangsaan juga akan kembali menjalani latihan rutin bersama pemain yang lain.

JDT kini berada di tahap terbaik untuk mengecewakan Kedah di laman mereka sendiri sekaligus mengekalkan kedudukan teratas liga dan memburu kejuaraan liga buat kali keenam berturut-turut. Luaskan Kuasamu Johor.

Sumber : JOHOR Southern Tigers

Komen Anda?