Larangan Merokok Berkuatkuasa 1 Januari 2020

Umum mengetahui larangan merokok di kedai makan atau restoran sudah dilaksanakan pada Januari lalu. Malah, sudah banyak papan tanda larangan merokok di letakkan di kedai makan dan di tempat awam.

Bermula 1 Januari 2020, tindakan undang-undang terhadap perokok yang ingkar akan larangan merokok di semua premis makanan akan mula dikuat kuasakan.

Infografik : Bernama

5,000 penguat kuasa pantau perokok di premis makanan

KUALA LUMPUR: Seramai 5,000 pegawai Kementerian Kesihatan digerakkan di seluruh negara untuk menguatkuasakan larangan merokok di kawasan tidak dibenarkan, termasuk tempat makan, bermula tengah malam tadi.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata pegawai dari bahagian Kesihatan Persekitaran Kementerian Kesihatan akan memantau semua lokasi larangan merokok yang dikuatkuasakan mengikut Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

Yakin dengan bilangan pegawai itu, beliau berkata, kebanyakan restoran di seluruh negara mematuhi peraturan wajib memasang notis larangan merokok.

Katanya, kadar merokok di tempat makan turut berkurangan sejak Kementerian Kesihatan mewartakannya sebagai kawasan larangan merokok berkuat kuasa 1 Januari 2019.

“Kita akan meningkatkan penguatkuasaan waktu malam dan di luar bandar berikutan ramai tidak mematuhi larangan merokok pada masa serta lokasi berkenaan.

“Itu akan menjadi fokus utama pemantauan selepas ini.

“Orang ramai boleh memberikan maklumat menerusi saluran disediakan sekiranya ada melihat individu atau pemilik premis melanggar larangan berkenaan.

“Kita sudah memberi ruang sejak setahun lalu dan sepatutnya semua individu serta pemilik premis seperti tempat makan memahaminya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Bermula hari ini, individu merokok di kawasan larangan, termasuk semua tempat makan akan dikenakan kompaun RM250 dan kadar itu boleh dikurangkan kepada RM150 bagi kesalahan pertama dan dijelaskan di Pejabat Kesihatan Daerah dalam tempoh sebulan dari tarikh izin kompaun diterima.

Bagi kesalahan kedua, tiada pengurangan kompaun diberikan dan bayaran penuh kompaun RM250 akan dikenakan, manakala kompaun lebih tinggi, iaitu RM350 bagi mereka melakukan kesalahan kali ketiga dan seterusnya.

Pemilik premis harus memastikan tempat makan bebas daripada amalan merokok dengan tidak menyediakan kemudahan seperti bekas abu rokok, penjualan shisha serta kemudahan lain berkaitan.

Pemilik premis boleh dikompaun RM250 bagi kesalahan pertama dan kedua, manakala bagi kesalahan ketiga dan seterusnya, kompaun RM350 akan dikenakan.

Selain pemantauan dilakukan pegawai penguat kuasa, Kementerian Kesihatan turut menyediakan saluran untuk orang ramai membuat aduan menerusi WhatsApp di talian 010-8608949 atau menghubungi talian 03-88924530.

Orang ramai perlu memaklumkan nama premis, lokasi/alamat dan jenis kesalahan, selain menyertakan gambar pesalah merokok dalam premis.

Sumber : Berita Harian

Komen Anda?