Kontinjen Paralimpik Negara Selamat Tiba Di Tanah Air

Kuala Lumpur: Penyumbang pingat emas kedua dan ketiga negara Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Cheah Liek Hou dan Abdul Latif Romly selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, sebentar tadi.

Turut tiba ialah atlet para olahraga, Mohamad Ridzuan Puzi, ketua kontinjen negara, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk M Noor Azman Taib, barisan jurulatih.

Kesemua mereka selamat tiba dengan menaiki pesawat MH71 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Narita ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pada jam 5.45 petang tadi. 

Kepulangan wira paralimpik negara disambut meriah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker serta Ketua Pengarah, Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi . 

Ahmad Faizal dalam sidang media berkata, bukan bilangan pingat yang menjadi ukuran, sebaliknya persembahan cemerlang yang diberikan semua atlet, membuatkan seluruh rakyat terus bersemangat untuk menyaksikan setiap acara yang dipertandingkan. 

“Untuk itu, kami amat berterima kasih di atas usaha terbaik anda semua,” kata Ahmad Faizal. 

Kontinjen Paralimpik Tokyo membawa pulang tiga pingat emas dan dua perak menerusi acara olahraga, badminton, boccia dan powerlifting. 

Tiga emas disumbangkan atlet powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin, pemain badminton para, Liek Hou dan atlet lompat jauh, Ahmad Latif. 

Pingat perak pula diraih Jong Yee Khie (powerlifting) dan Chew Wei Lun (boccia) sekali gus menepati sasaran yang diletakkan iaitu tiga emas. 

“Alhamdulillah setinggi-tinggi lafaz syukur kita semua lafazkan juga kerana di temasya Paralimpik Tokyo 2020 ini juga, kontinjen negara sudah berjaya melakar prestasi pencapaian terbaik sepanjang sejarah 16 kali penyertaan kita dalam Sukan Paralimpik seawal penyertaan pertama di Paralimpik Heidelberg 1972. 

“Kontinjen Paralimpik kita menyumbangkan tiga pingat emas, menepati sasaran awal tiga emas dan seterusnya pencapaian dua perak lagi sudah memperbaiki pencapaian di Rio 2016 dengan tiga emas, satu gangsa,” katanya.

Sumber : Harian Metro

4 September 2021 | TOTAL MEDAL COUNT

Bonnie Bunyau Gustin – GOLD
Cheah Liek Hou – GOLD
Abdul Latif bin Romly – GOLD
Jong Yee Khie – SILVER
Chew Wei Lun – SILVER

Thank you very much for the great achievements of our PARA HEROES!
We are proud of you!

Komen Anda?