Kerajaan Johor Salur Sumbangan Wang Tunai Dan Kuih Raya Kepada Pasukan Keselamatan

KERAJAAN JOHOR SALUR RM211,100 KEPADA PASUKAN KESELAMATAN

KOTA ISKANDAR, 18 Mei: Kerajaan Negeri Johor menyalurkan sumbangan wang tunai dan kuih raya bernilai RM211,100 kepada tiga pasukan keselamatan di negeri ini sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma tidak lama lagi.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dua markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), iaitu Markas 7 Briged dan Markas 21 Grup Gerak Khas (GGK).

Bantuan kewangan dan kuih raya itu akan diberikan kepada waris anggota keselamatan yang meninggal dunia, cedera semasa bertugas, orang kurang upaya (OKU) yang masih berkhidmat atau bersara serta balu-balu anggota keselamatan berkenaan.

Bantuan kepada PDRM diterima oleh Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, manakala Markas 7 Briged diwakili Panglimanya, YBhg. Brigedier Jeneral Mohamed Fauzi Kamis dan Markas 21 Grup Gerak Khas oleh Ketua Staf Pengurusannya, YBhg. Brigedier Jeneral Khairul Anuar Yaacob.

Majlis penyampaian sumbangan diadakan di Pejabat Menteri Besar Johor, Bangunan Dato’ Jaafar Mohammad, di sini hari ini. – Makmur Johor

Komen Anda?