fbpx

Kemalangan Yang Meragut Nyawa Disebabkan Oleh Sebotol Air

Kemalangan jalan raya boleh terjadi daripada beberapa faktor seperti pemandu, kenderaan dan sekeliling. Namun siapa sangka, dengan hanya sebotol air dalam kereta, ia mampu mengakibatkan kemalangan, seterusnya menyebabkan kehilangan nyawa?

KEMALANGAN YANG MERAGUT NYAWA DISEBABKAN OLEH SEBOTOL AIR

Ini adalah salah satu pesanan saya kepada anda semua mengenai aspek keselamatan dalam kereta. Jika hari itu kita berbincang mengenai tali pinggang keledar dan carseat untuk kanak-kanak (pautan di bawah), hari ini, mari kita berbicara mengenai botol air.

Kebanyakkan kenderaan, tidak kiralah sama ada transmisi automatik atau manual dan betapa cerunnya bahagian lantai kenderaan berdekatan dengan pedal klac, brek dan minyak, risiko untuk kemalangan ini pasti ada.

Sekarang kita lihat semula beberapa model kereta di mana ada yang mempunyai tempat letak bekas minuman (cup holder) dan ada yang tidak. Hal sama ada ruangan tersebut ada atau tidak sebenarnya bukanlah satu benda yang perlu kita utamakan, sebaliknya, lebih kepada adakah cup holder tersebut digunakan atau adakah cup holder tersebut digunakan untuk meletakkan duit syiling, sepit rambut, pengetip kuku dan lain-lain.

Daripada aspek keselamatan, perbuatan meletakkan botol air ‘ikut suka’ ini boleh menyebabkan kematian. Botol tersebut boleh bergolek ke sana sini jika tidak diletakkan dengan betul sama ada di dalam plastik bersama dengan barang lain ataupun di dalam cup holder.

Saya perasan, ada diantara kita yang meletakkan botol tersebut di bawah kerusi sama ada di bawah kerusi pemandu ataupun di bawah kerusi penumpang. Perbuatan tersebut adalah salah satu perbuatan yang paling berbahaya. Jika kenderaan mula hilang kawalan, botol tersebut, sama ada yang bersaiz 250 ml atau 1.5 liter, atau pun lain-lain bekas minuman boleh tersangkut di bawah pedal brek. Tak kira bagaimana kuat sekalipun anda pijak pedal brek tersebut, ianya tidak membantu kerana tekanan yang amat tinggi diperlukan untuk membuatkan botol tersebut pecah.

Jika pemandu kereta berjaya menekan pedal brek sehingga menyebabkan botol tersebut pecah sekalipun, ianya akan melewatkan waktu yang sepatutnya untuk kesan menekan brek itu memperlahankan atau menghentikan kereta sepenuhnya. Setiap milisaat amat penting apabila kita berbincang mengenai kemalangan jalan raya.

Sekiranya kereta anda tidak mempunyai cup holder, mungkin anda patut membeli cup holder (third party) atau meletakkan botol air pada tempat yang mana ianya tidak akan bergolek ke sana-sini ketika pemanduan dibuat. Sekiranya kereta anda ada built-in cup holder, maka gunakannya sebaik mungkin.

Akhir kata, mungkin selepas ini, jika anda ada kelapangan, maka, periksalah keadaan di dalam kereta anda terutama sekali di bawah tempat duduk pemandu dan penumpang. Jika ada apa-apa objek yang berpotensi untuk mengganggu fungsi pemanduan anda, maka, anda buatlah perkara yang sepatutnya.

Sumber Photo : Polis Daerah Pendang

Komen Anda?
Terima kasih kerana terus berada di rumah!

Duduk rumah, penjarakan sosial, amalkan kebersihan, putuskan rantaian penularan Covid-19 dan ikuti saranan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkuasa.