Kebenaran Solat Fardu Jumaat dan Solat Fardu Lima Waktu Negeri Johor

Kenyataan Media:

Kebenaran Solat Fardu Jumaat dan Solat Fardu Lima Waktu di semua masjid dan surau negeri Johor dalam tempoh PKP 3.0

Alhamdulillah…

Patuhi SOP yang Ditetapkan

Johor benarkan solat Jumaat, Aidiladha 50 jemaah di masjid

Johor Bahru: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) membenarkan solat fardu Jumaat dan lima waktu dengan kapasiti tertentu di masjid dan surau Jumaat serta surau yang diberi kebenaran Jumaat sementara berkuat kuasa 9 Julai ini.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi, Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Datuk Md Rofiki Samsudin, hari ini.

Katanya, had bilangan jemaah bagi solat Jumaat dan solat sunat Aidiladha bagi semua masjid di Johor ditetapkan 50 orang. 

“Ia terdiri daripada imam, bilal dan noja, ahli jawatankuasa (AJK) pengurusan kariah masjid dan surau serta ahli kariah yang digilirkan di kawasan itu sahaja. 

“Bagi surau Jumaat dan surau Jumaat sementara, bilangan jemaah adalah 20 orang dari kalangan imam, bilal dan noja, AJK pengurusan kariah masjid dan surau serta ahli kariah yang digilirkan di kawasan itu sahaja. 

“AJK pengurusan kariah masjid dan surau serta jemaah yang hadir ke masjid atau surau adalah yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 kecuali kepada imam, bilal dan noja yang bertugas,” katanya. 

Kebenaran itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai Ketua Agama Islam negeri sebagaimana peruntukan Fasal 57(A) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895 dan Seksyen 6 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003. 

Menurut kenyataan itu lagi, bagi solat fardu lima waktu untuk masjid dan surau, bilangan jemaah adalah 20 orang dari kalangan imam, bilal dan noja, AJK pengurusan kariah masjid dan surau serta ahli kariah di kawasan itu sahaja. 

Katanya, syarat dua dos lengkap suntikan vaksin Covid-19 perlu dipenuhi AJK pengurusan kariah masjid dan surau dan jemaah yang hadir ke masjid atau surau, kecuali kepada imam, bilal dan noja yang bertugas. 

“Mana-mana jemaah lelaki yang mukallaf dan tidak mendapat giliran hadir solat Jumaat di masjid dan surau Jumaat, hendaklah menunaikan solat fardu Zohor di rumah. Mereka juga tidak dibenarkan berada di tempat awam seperti pusat membeli belah, pusat rekreasi ketika waktu solat jumaat kerana akan menimbulkan fitnah kepada agama Islam. 

“JAINJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) hendaklah membuat pemantauan SOP masjid dan surau. Masjid dan surau yang didapati melanggar SOP hendaklah ditutup,”katanya. 

Manakala solat jenazah (bukan kes COVID-19) di masjid dan surau adalah dibenarkan dengan bilangan jemaah tidak melebihi 20 orang. 

Bagi aktiviti ziarah tanah perkuburan Islam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah dibenarkan dengan mematuhi SOP. 

“Kehadiran semasa pengebumian jenazah adalah dibenarkan dengan kehadiran tidak melebihi 50 orang tidak termasuk petugas tanah perkuburan dengan syarat bukan jenazah pesakit Covid-19. Harian Metro

Komen Anda?