Kebanggaan Yang Dirindukan

Bayangkan,
Bangun tidur daripada keletihan,
Melihat telefon pintar dan buka capaian,
Di sosial media penuh dengan satu ciapan,
“Hari ini adalah hari perlawanan”,

Bergegas mandi selesaikan kerja harian,
Tiba waktu petang yang dinanti-nantikan,
Terus menyarung jersi kelab kesayangan,
Dengan semangat menuju ke stadium kebanggaan.

Itu lumrah pada hari perlawanan. Adrenalin cepat mengalir bila tiba masa ke stadium menyaksikan pasukan bolasepak kesayangan beraksi. Ini kan pula beraksi di Stadium Sultan Ibrahim.

Perlawanan sumbangsih bertemu pasukan Kedah, perlawanan bertemu pasukan UiTM dan perlawanan bersejarah mencatatkan kemenangan ke atas pasukan gergasi Asia, Suwon Samsung Bluewings.

Diri ini belum puas menikmati keindahan, kecantikan, keghairahan, dan keistimewaan Stadium Sultan Ibrahim. Belum sempat diri ini menyaksikan kekebalan yang perlu dicatat sepenuhnya oleh pasukan kesayangan ini.

Belum sempat diri ini meratapi kenangan indah di stadium yang baru hendak dibanggakan. Belum sempat diri ini meneliti sudut-sudut radikal di dalam stadium paling gah dalam Malaysia. Semua ini terhenti secara tiba-tiba dek kerana musuh halus yang menyerang dunia.

Hidup tanpa bolasepak adalah umpama makan goreng pisang tanpa sambal kicap. Tidak lengkap menu orang Johor.

Yang menemani diri ini adalah kenangan baling belakang. Kedengaran lagu ‘Bangsa Johor’ berkumandang beserta bendera gergasi di turunkan sepenuhnya. Dan semestinya, setiap penyokong telah sedar apa yang akan berlaku selepas itu. Seluruh stadium di minta kerjasama untuk mengangkat kedua belah tangan, kita sama-sama menjayakan aksi ‘Bangsa Johor’ clap.

Dan terus di sambung dengan laungan Ayuh Johor! Masih jelas penuhnya setiap sudut Stadium Sultan Ibrahim dengan penyokong JDT. Bersorak seikhlas hati demi pasukan. Tidak di lupakan, penyokong menyahut sorakan Boys of Straits, itu paling istimewa.

Fikirkan, adakah bolasepak boleh diteruskan beraksi tanpa penyokong?

Tapi apakan daya, kesihatan masyarakat perlu di dahulukan. Perintah Kawalan Pergerakan perlu di patuhi. Kali ini pepatah Melayu di terbalik kan, “Bersatu kita roboh, bersendirian kita teguh”. Bersendirian dan tidak berhimpun sahaja penyelesaian untuk memutuskan rantaian musuh halus ini. Duduk di rumah adalah satu amanah yang perlu ditunaikan semua.

Kita biarkan mereka yang bertanggungjawab selesaikan tugasan mereka. Angkat lah mereka yang bertugas, puji lah mereka supaya diberi motivasi untuk meneruskan tugas, ucap lah kasih agar mereka rasa sedikit dihargai, itu semua adalah tindakan positif yang mampu mengubat penat lelah mereka.

Wahai bangsa Johor, jika semua penyokong mampu bekerjasama di dalam Stadium demi bolasepak, kita semua sudah tentu boleh buktikan di luar demi memerangi musuh halus ini.

Jangan pernah kita buang rasa cinta kita kepada pasukan kesayangan. Diri ini percaya, kita akan ditemukan kembali dengan bolasepak. Dengan izin Tuhan. Amin.

Saya kembali,
Farhan Khair

Time Bosan tue boleh la try timbang bola

#JugglingAtHome

Posted by JOHOR Southern Tigers on Selasa, 21 April 2020