KDYMM Yang di-Pertuan Agong Berkenan Berjalan Kaki Meredah Banjir

istana_negara 14 Januari, 2021 – Menzahirkan keprihatinan terhadap mangsa-mangsa banjir, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan berjalan kaki meredah banjir untuk meninjau situasi banjir di Kampung Lamir, Pekan, Pahang.

Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan meluangkan masa menyantuni mangsa-mangsa banjir di kampung tersebut.

Dalam lawatan ini, Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir bagi meringankan beban yang ditanggung akibat bencana banjir.

Turut mengiring, anakanda-anakanda Seri Paduka Baginda berdua, Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

Terdahulu pada hari ini, Seri Paduka Baginda berdua telah berkenan melawat beberapa kampung yang telah dilanda banjir dan beberapa Pusat Pemindahan Sementara di sekitar Pekan di mana mangsa-mangsa banjir ditempatkan.

Keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua ini mencerminkan keperibadian dan keprihatinan tinggi Baginda berdua terhadap mangsa-mangsa banjir yang memerlukan bantuan.

Seri Paduka Baginda berdua mengajak seluruh rakyat untuk bersama mendoakan agar bencana banjir yang melanda beberapa negeri pada ketika ini tidak berpanjangan.

Daulat Tuanku
Komen Anda?