Karier Pemain Muda Sentiasa Menjadi Keutamaan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim

DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor seringkali memberitahu kepada umum bahawa pemain muda adalah suatu aset yang amat berharga. Aset yang perlu dilindungi kerana mereka adalah penyambung nafas, nyawa dan legasi bola sepak tanah air.

DYAM Tunku Mahkota Johor pernah menegaskan bahawa baginda akan melakukan apa sahaja untuk mengawal keselamatan aset ini dan menjaga kepentingan tersebut dengan sepenuh hati.

1. MELINDUNGI DARI TERLIBAT DENGAN UNSUR NEGATIF

Bola sepak Malaysia pernah terpalit dengan kontroversi rasuah dan isu mengatur perlawanan. Peristiwa hitam pada tahun 1994, telah memeranjatkan pemerhati dan penyokong bola sepak tanah air apabila lebih 100 orang pemain serta jurulatih disyaki terlibat dalam gejala mengatur perlawanan Piala Malaysia dan Liga Perdana.

Hampir separuh dari jumlah tersebut melibatkan pemain-pemain muda yang berpontensi. Di atas kesedaran tersebut, DYAM Tunku Mahkota Johor sentiasa memastikan pemain-pemain muda era masa kini dilindungi dari terdedah dan terperangkap di dalam gejala rasuah.

2. MELINDUNGI MASA DEPAN DAN HALA TUJU PEMAIN

Hala tuju merupakan perkara yang amat mustahak bagi pemain muda. Di Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), hala tuju yang ditentukan adalah amat jelas. Mereka akan merasai nikmat sebenar kerjaya sebagai pemain profesional. JDT pastinya akan menjadikan karier pemain muda ini sentiasa penuh dengan warna warni yang boleh memberi inspirasi dalam perkembangan prestasi.

Keprihatinan DYAM Tunku Mahkota Johor juga amat jelas apabila sanggup menanggung risiko dengan menawarkan kontrak-kontrak panjang disamping meletakkan klausa-klausa penting dalam perjanjian. Maka dengan usaha yang dibuat oleh DYAM Tunku Mahkota Johor ini, ianya pasti memberikan sinar dan harapan kepada masa depan karier pemain ini kelak.

3. MELINDUNGI HAK PEMAIN DALAM MATA PENCARIAN DAN KEBAJIKAN

Akhir-akhir ini pemain-pemain bola sepak sering dihimpit dengan masalah gaji dan kebajikan. Ini terbukti apabila Liga Malaysia telah dicatatkan paling tinggi di Asia apabila merekodkan 262 gaji pemain dari 14 pasukan di Liga domestik tempatan dalam carta tunggakan gaji.

Terdapat juga dikalangan pemain-pemain ini tidak mendapat hak yang sewajarnya di dalam pasukan. Perkara ini tidak wujud sama sekali dalam JDT. Pengurusan JDT amat menitikberatkan tentang mata pencarian dan kebajikan pemain. DYAM Tunku Mahkota juga berpendapat bahawa gaji dan kebajikan pemain perlu diutamakan dari segalanya.

Akhir kata, sekalung tahniah kepada pemain muda yang dipilih menyarung jersi kebanggaan berteknologi tinggi Merah Biru, semoga sentiasa konsisten dalam usaha merebut tempat kesebelasan utama di dalam pasukab. Yakin dan percaya bahawa anda sememangnya yang terbaik. Semoga usaha JDT menjadi pelindung dalam karier pemain muda ini sentiasa berterusan.

“Skuad kebangsaan akan datang bakal memiliki masa depan yang cerah sekiranya kita jaga pemain ini dengan perancangan yang betul” – DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

Sumber artikel: Media JST

 23 Total Views,  1 Views Today

Komen Anda?