Kami Tidak Pandang Rendah Kekuatan Lawan -Aidil

KAMI TIDAK PANDANG RENDAH KEKUATAN LAWAN – AIDIL

Tonggak pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Aidil Zafuan Abd. Radzak tidak pernah berasa selesa dengan kedudukan sekarang selain tetap menganggap ia bukan perlawanan mudah apabila bakal berdepan Selangor dalam CIMB Liga Super 2020 pada malam esok.

Jelas Aidil, walaupun JDT masih gah di tangga teratas liga ketika ini, tetapi itu tidak bermakna mereka perlu mengambil perlawanan seterusnya dengan mudah apabila menjangkakan setiap lawan yang dihadapi bakal memberi cabaran berbeza kepada JDT termasuklah Selangor.

Justeru, dia dan rakan sepasukan menyifatkan perlawanan pada malam esok di Stadium Sultan Ibrahim cukup penting untuk JDT terus mengutip tiga mata penuh bagi mengukuhkan lagi kedudukan di takhta liga.

“Sebagai pemain, memang saya anggap setiap perlawanan penting, bukan sahaja untuk malam esok, malah perlawanan-perlawanan sebelum ini juga penting untuk kami.

“Mungkin peminat rasa apabila Selangor akan berjumpa JDT, dengan rekod pertemuan sebelum ini membuatkan mereka rasa ia akan menjadi perlawanan yang cukup sengit.

Photo By MFL

“Untuk saya, walaupun kedudukan JDT dalam liga sekarang agak jauh dengan pasukan lain, tiada isitilah selesa kerana apa sahaja boleh terjadi dan kami tetap akan memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan.

“Yang penting, kami tidak pernah pandang rendah kekuatan lawan dan dalam bola sepak ini, saya hanya fikir pasukan saya sahaja untuk kami fokus sepenuhnya dalam perlawanan akan datang ini,” jelasnya.

Dalam masa sama, pemain sayap Selangor, Syahmi Safari kekal positif bahawa tiada yang mustahil untuk Selangor mencipta kejutan pada malam esok kerana apa yang menjadi keutamaan adalah memastikan mereka tidak tersungkur dan pulang tanpa sebarang mata.

Walaupun Selangor akan beraksi tanpa dua tonggak utama iaitu Brendan Gan yang digantung perlawanan dan penjaga gol, Khairulazhan Khalid yang akan melangsungkan perkahwinan, pemain berusia 22 tahun ini tetap percaya dengan percaturan jurulatih, B. Satiananthan bagi meletakkan pemain lain menggantikan posisi yang ditinggalkan itu.

“Kalau kita tengok di sosial media, semua tengah bercakap pasal perlawanan JDT dan Selangor malah, ramai yang meramalkan Selangor akan kalah dan ada yang harap Selangor jangan kena lagi teruk seperti Perak sebelum ini.

“Tetapi sebagai pemain, kami sentiasa bersedia untuk melakukan yang terbaik mengikut perancangan dari jurulatih dan sekarang ini kita tidak mahu terlalu terkesan dengan tekanan daripada sosial media.

“Untuk pemain, siapa pun yang diberi peluang pada malam esok khususnya mereka yang akan menggantikan Brendan dan Khairulazhan, saya percaya kami mampu galas tanggungjawab itu untuk memastikan kemenangan berharga malam esok”, katanya.

Selain aksi JDT dan Selangor, satu lagi perlawanan yang berlangsung malam esok adalah UiTM FC yang akan menentang Terengganu FC di mana skuad Nafuzi Zain yang kini di tangga kelima pastinya ingin bangkit selepas tewas dengan JDT pada minggu lalu.

Tiga perlawanan lain pada Ahad menyaksikan Felda United FC akan berdepan Pahang, Melaka menentang PJ City FC dan PDRM akan menerima kunjungan Perak.

Pasukan kedua terbaik liga ketika ini iaitu Kedah pula akan menentang Sabah pada Isnin di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras di mana keputusan pindaan tarikh dan venue itu diambil susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Daerah Kota Setar yang berkuatkuasa pada 11 September hingga 25 September ini.

Sumber : MFL