Johor Darul Ta’zim (JDT) berpesta gol bagi melakar kemenangan ketujuh berturut-turut dalam saingan Liga Super musim ini selepas menewaskan Perak 5-0 di Stadium Perak, Ipoh, sebentar tadi.
Skuad bimbingan Esteban Solari itu tidak menunggu lama untuk mendahului permainan selepas tonggak pertahanan Perak, Hasnul Zaim Zafri menjaringkan gol sendiri pada minit kelima.
JDT terus mendominasi permainan apabila menambah dua lagi jaringan sebelum waktu rehat masing-masing menerusi Leandro Valzquez yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-25 dan Diogo Luis Santos minit ke-45.
Bersambung babak kedua, JDT semakin garang apabila penyerang dari Brazil, Bergson da Silva meledak gol keempat pasukan itu pada minit ke-66 sebelum Velazquez merakam gol kedua peribadi dalam perlawanan berkenaan menerusi jaringan pada lewat permainan.
Kemenangan itu menyaksikan JDT semakin mengukuhkan kedudukan mereka di tangga teratas liga apabila mengumpul 21 mata selepas mengharungi tujuh perlawanan.
Perak pula yang dibimbing Datuk Lim Teong Kim sekadar di tangga ke-10 dengan hanya mengutip lima mata.
JDT seterusnya akan melayan kunjungan Kedah di Stadium Sultan Ibrahim, Ahad ini manakala Perak berkunjung ke ibu kota bagi pertemuan menentang Kuala Lumpur City FC pada Isnin.
Sumber : Betita Harian
#LuaskanKuasamuJohor
PERHATIAN: Pihak kami tidak akan bertanggungjawap langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawap anda sendiri.