Johor Cadang Cuti Sehari Jika Juara Piala Malaysia

Kerajaan Johor bercadang mengumumkan cuti khas peristiwa jika pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai perlawanan akhir Piala Malaysia, 30 November ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, ia sebagai penghargaan kepada pasukan jika muncul juara pada sambutan ulang tahun trofi berprestij ke-100 itu.

“Kita (Johor) menang besar malam melawan Terengganu walaupun hanya 10 pemain sahaja. Apatah lagi kalau kita ada 12 pemain. 

“Ini adalah acara yang kita tunggu-tunggukan. Saya berharap mudah-mudahan pasukan JDT menewaskan pasukan lawan dan menjuarai trofi Piala Malaysia,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Program Khas Rumah Johor di Tapak Rumah Contoh Gerbang Nusajaya di sini, hari ini.

Malam tadi, JDT mara ke pentas final Piala Malaysia selepas menang dengan agregat 4-1 apabila membelasah Terengganu FC (TFC) 3-0 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim di sini.

JDT selaku juara bertahan akan berdepan KL City FC pada aksi final piala berprestij edisi ke-100 di Stadium Bukit Jalil, Selasa ini selepas mengatasi Melaka United dengan agregat 5-3 menerusi sepakan penalti. Sumber : Harian Metro

Photo : Harimau Selatan

Komen Anda?
%d bloggers like this: