Jihad Dijalan Tuhan

Kebiasaannya, persepsi jihad itu adalah semata-mata mengangkat senjata dan berperang. Akan tetapi, ingin saya bawa semua untuk melihat konteks jihad pada masa kini. Meningkatkan ilmu pengetahuan, menghapuskan kejahilan, meningkatkan ekonomi umat dan menghapuskan kemiskinan juga di istilah sebagai jihad. Jihad berasal dari kata kerja ‘jahada’ yang bererti gigih berusaha dengan sepenuh jiwa raga sehingga mencapai matlamat jaya di jalan Allah swt.

Jihad mestilah ditumpukan kepada sesuatu yang boleh kita capai. Ini termasuk jihad dari segi pemikiran, ilmu pengetahuan, kebudayaan dan ekonomi.

Umum mengetahui, DYAM Tunku Mahkota Johor selalu meletakkan keutamaan kepada rakyat baginda. Banyak sumbangan-sumbangan peribadi Tunku kepada semua golongan. Ini termasuklah yang disiarkan di media massa, mahupun sumbangan di belakang tabir yang kita semua tidak pernah tahu. Lihat semula kerjasama di antara kelab bolasepak JDT dan UNICEF. Harus dipandang tinggi nilai tersebut, kerana Tunku telah memandang jauh ke hadapan dengan membantu kanak-kanak di seluruh dunia.

Imbas kembali bagaimana DYAM Tunku Mahkota Johor berkongsi ilmu pengetahuan tentang bolasepak kepada seteru baginda di dalam padang. Ambil contoh bagaimana Terengganu FC mengikut perkongsian ilmu baginda dan terus buat kerja ikut kemampuan. Hasilnya kita dapat lihat dengan mata kasar. Bukan itu sahaja, tindakan tersebut secara tidak langsung menarik minat seteru yang lain untuk ke tanah selatan menuntut ilmu dengan baginda. Tidak cukup dengan itu, pihak luar negara juga turut memandang tinggi apa yang telah dihasilkan oleh DYAM Tunku Mahkota Johor. Pepatah barat ada mengatakan, “Knowledge increases by sharing but not by saving.”

Kita fokus kepada cara pemikiran DYAM Tunku Mahkota Johor. Terkini, baginda telah mewujudkan beberapa buah pusat belia (Tunku Mahkota Ismail Youth Centre) di seluruh daerah negeri Johor. Satu matlamat baginda, demi membangkitkan belia dan membentuk modal insan yang telus, berakhlak mulia dan bertanggungjawab. Kerana Tunku percaya, belia-belia ini adalah masa hadapan negeri tercinta. Percayalah, baginda akan jadikan ini realiti.

Sebagai seorang tentera, perkataan jihad ini sudah sebati dalam jiwa DYAM Tunku Mahkota Johor. Saya percaya, DYAM Tunku Mahkota Johor akan terapkan jihad di dalam semua tindakan baginda. Setiap tindakan akan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab. Bukan populariti yang dikejar, cuma selitan mesej positif yang ditunjukkan kepada semua.

Wahai Bangsa Johor, bertindak profesional demi negeri tercinta ini. Tunjukkan taat setia kita sebagai Bangsa Johor. Buktikan kepada mereka mengapa kita sentiasa jadi yang pertama.

Allah berkati Johor.

Ikhlas,
FK

Daulat Tuanku
Komen Anda?