Jenama JDT Tarik ‘Minat’ Syarikat Gergasi

Akhbar Harian Metro melaporkan keyakinan terhadap jenama pasukan menyebabkan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya menambat hati syarikat antarabangsa untuk melabur di kelab berkenaan.

Hidup Johor Demi Johor

Kuala Lumpur: Keyakinan terhadap jenama Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya menambat hati syarikat antarabangsa untuk melabur terhadap kelab berkenaan.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, syarikat antarabangsa sudah pasti membuat kajian mendalam dan sepenuhnya sebelum mereka mahu ‘meletakkan duit’ untuk melabur dalam sesuatu perkara. 

“Saya rasa mana-mana syarikat atau individu yang berduit akan membuat penilaian sama ada boleh dapatkan pulangan yang baik ataupun tidak sebelum membuat apa-apa pelaburan. 

“Saya fikir ramai percaya pada projek JDT kerana kita tengok JDT sudah menjadi jenama antarabangsa. Syarikat yang menaja JDT hari ini bukan calang-calang seperti Subway, Hublot, Aston Martin dan UNICEF, antara organisasi terbesar di dunia. 

“Saya rasa mereka pun tahu dan buat kajian sebelum melabur. Kalau mereka rasa sesuai, mereka akan labur dalam projek itu. 

“Saya hanya beri tawaran ataupun berbincang tetapi mereka sendiri yang memutuskan untuk meletakkan pelaburan. Bukan saya letak pistol atas kepala sesiapa,” katanya menerusi program bual bicara secara atas talian, baru-baru ini. 

Dalam perkembangan lain, Tunku Ismail menyatakan jaringan kerjasama yang dilakar di bumi Eropah menyaksikan pemain mereka yang mengalami kecederaan akan menikmati rawatan berkelas dunia. 

“Kita ada perjanjian dengan doktor yang juga konsultan Manchester City dan Barcelona (Dr Juan Boffa) untuk berkolaborasi dengan dia. Saya hantar Ramadhan (Saifullah) ke Barcelona untuk menjalani pembedahan dan kita akan dapat dia kembali pada tahun depan. 

“(Pernah hantar) Gary Steven Robbat, S Kunanlan. Kita akan menghantar setiap pemain yang tercedera untuk mendapatkan rawatan mereka di Barcelona,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Komen Anda?