JDT Tundukkan Kelantan FC

JDT bermula langkah kanan dalam perlawanan pertama Piala Malaysia 2021 apabila berjaya menewaskan Kelantan FC 2-0. Bermain di Stadium Sultan Ibrahim, JDT nyata mendominasi keseluruhan permainan.

JDT baham Kelantan FC

Sebaik aksi bermula, tuan rumah mengancam kubu skuad The Red Warrrios pada minit ke-10 namun bola tandukan Shane Lowry hasil bola sepakan percuma Safawi Rasid hanya melepasi palang di penjuru kanan gawang ketika penjaga gol, Farizal Harun sudah tertewas.

Skuad kendalian Reezal Zambery Yahya juga tidak mahu ketinggalan untuk bertindak balas pada minit ke-17 apabila bola sepakan lintang Natanael Siringo Ringo gagal disudahkan Nurshamil Abd Ghani biarpun hanya berdepan penjaga gol, Haziq Nadzli.

Asakan bertubi-tubi tuan rumah untuk mencari gol awal masih buntu apabila bola rembatan deras Arif Aiman Hanapi pada minit ke-27 belum mampu menewaskan Farizal yang bingkas merebahkan badan untuk menepis bola keluar.

Bagaimanapun, tindakan Ghaffar Abdul Rahman menjatuhkan Arif Aiman di dalam kotak penalti menyaksikan pengadil perlawanan, P Jeevanathan tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan pada minit ke-31 dan Bergson merembat kencang menewaskan Farizal.

Bergson hampir mencetak gol kedua peribadi pada minit ke-38 selepas menerima bola hantaran Natxo Insa dan sempat mendada bola sebelum merembat dari jarak 35 meter namun hanya singgah di palang gol ketika Farizal tidak berada di posisi terbaik untuk menyelamatkan bola.

Bersambung babak kedua, tuan rumah tidak menunggu lama untuk menambah jaringan selepas bola umpanan jauh Daniel Amir Norhisham pada minit ke-49 membuka ruang buat Safawi yang bertindak menyusup masuk ke dalam kotak penalti sebelum menyepak bola menewaskan Farizal.

49′ Gol | Safawi Rasid menyudahkan hantaran jauh Danial Amier untuk gol kedua JDT!

Skuad Harimau Selatan hampir menambah jaringan pada minit ke-61 selepas pemain gantian, Gonzalo Cabrera merembat bola lencong tepat ke penjuru kiri gol tapi kepantasan Farizal yang merebahkan badan berjaya mengelak gawang dibolosi.

Pengalaman Farizal mengemudi gawang Kelantan FC menyelamatkan pasukan itu menjadi lubuk untuk skuad Harimau Selatan mencipta jaringan dan ia terbukti apabila bola rembatan Cabrera pada minit ke-70 hasil umpanan Arif Aiman dinafikan bekas penjaga gol Selangor itu.

Pemain gantian Safiq Rahim terlepas untuk mencetak nama sebagai penjaring gol pada minit ke-79 apabila bola sepakan percuma di luar kotak penalti terkena palang gol ketika Farizal sudah tertewas dan keputusan 2-0 yang memihak JDT kekal sehingga tamat perlawanan.

Sumber : Berita Harian

Pujian harus diberikan kepada pemain-pemain JDT yang kekal tenang, tidak gopoh dan mampu melakukan hantaran walaupun ditekan oleh 2-3 pemain Kelantan setiap kali memegang bola.

Pada akhirnya berharap penyokong bola sepak tanah air terus menyemarakkan lagi saingan Piala Malaysia musim ini selain berpeluang turun ke stadium apabila sudah dibenarkan pihak berkuasa.

📊 KEDUDUKAN PERINGKAT KUMPULAN – PM1

Perlawanan Seterusnya JDT vs PJ City FC | 30 Sept 2021 | Stadium Sultan Ibrahim | 9.00Malam

Komen Anda?