JDT ‘Port Baik’ Pemain Muda

Sekitar Disember 2019, kita digembar gembur dengan kemasukan lebih 20 orang pemain muda ke sebuah pasukan yang menganggap masa depan mereka adalah sekarang. Tidak cukup dari itu, kita disuap pula dengan berita pemain muda ini akan dijanjikan minit permainan. Ditambah rencah gosip tersebut, pemain-pemain muda ini ditakut-takutkan sekiranya mereka ke selatan, mereka tidak akan dapat minit permainan yang diperlukan.

Kita keluarkan fakta pada tahun 2019. Pemain-pemain muda JDT memenangi JDT U12 Perlawanan MSSM , JDT U14 Liga KPT dan juga JDT U17 Piala Belia KPM/FAM. Sekiranya ada daripada anda yang betul-betul mengikuti perkembangan dan cara pemainan mereka ini, anda akan yakin dengan produk yang akan diketengahkan kelab bolasepak JDT di masa hadapan. Saya tinggalkan hashtag #NeverDoubt untuk kenyataan saya ini.

Ingin saya fokuskan kepada individu yang turut menyerlah pada tahun 2019. Ramadhan Saifullah, merupakan antara pemain muda JDT yang diberikan peluang untuk beraksi bersama skuad senior. Ternyata sedikit sebanyak pengalaman apabila diberikan peluang berlatih membuahkan hasil. Ramadhan Saifullah menampilkan diri beliau untuk debut skuad utama JDT di awal usia 18 tahun, 9 bulan dan 9 hari. Turut memecahkan rekod pemain muda yang beraksi bersama skuad utama JDT sebelum ini iaitu Akhyar Rashid. Ramadhan beraksi cemerlang dengan menamatkan karier 2019 dengan memenangi Juara Piala Cabaran 2019 dan Juara Piala Malaysia 2019.

Baru-baru ini, sekali lagi kelab bolasepak JDT membuat kejutan dengan menampilkan pemain muda dalam skuad utama pada perlawanan CIMB Liga Super 2020 menentang Felda Utd. Arif Aiman, membuat debut pertama skuad utama JDT pada usia 17 tahun, 10 bulan dan 10 hari. Sekaligus memecahkan rekod Ramadhan Saifullah pada tahun lepas. Kelibat aksi Arif Aiman ternyata mengkagumkan selepas mendapat kata-kata positif peminat bolasepak tempatan. Melihat semua video permainan beliau yang dimuat naik di laman Johor Southern Tigers, ternyata Arif Aiman tidak mensia-siakan peluang keemasan yang diberikan oleh jurulatih.

Melihat semula apa yang direncanakan selaras dengan visi dan misi kelab bolasepak JDT, tahun ini pasukan JDT2 telah di ‘overhaul’ hampir seratus peratus untuk memberikan laluan kepada pemain-pemain muda. Walaupun kurang kemenangan selepas 4 perlawanan, pasukan JDT2 dilihat telah memberikan ‘immediate impact’ selepas proses overhaul. Ini adalah petanda positif bahawa projek pemain muda yang di didik JDT semakin matang. Kita lihat hasil hingga hujung musim. Semoga lebih banyak impak positif yang ditonjolkan.

Secara tersirat, kelab bolasepak JDT telah memberikan amaran awal supaya berjaga-jaga dengan tindakan seterusnya. Orang barat bilang, “Slowly but surely”. Di saat semua berzikir kelab bolasepak JDT tidak mempunyai ‘ubi’, di saat itu lah juga tanah selatan sedang membelai ubi-ubi elok ini untuk terus bersinar di masa hadapan.

Dan kepada semua penyokong JDT, kita semua harus berdiri teguh dan meletakkan kepercayaan kepada insan ini. Baginda telah mengorbankan masa dan juga kederat sepenuhnya demi masa depan bolasepak Johor. Baginda telah lama menyusun atur pelan dan menunggu masa untuk menunjukkan hasil. Jangan pernah kita sangsi dengan pelan perancangan kelab bolasepak JDT. Kita harus letak sepenuhnya sokongan supaya kelab bolasepak JDT terus menerus maju kehadapan. Ingat, JDT akan sentiasa tampil dengan kejutan.

Menjunjung kasih DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim.

Ikhlas,
Wakil Penyokong Johor

Sumber : Farhan Khair

Komen Anda?