JDT Menyediakan Peruntukan Tiket Tambahan Kepada Petugas Barisan Hadapan

JDT sedia tiket tambahan pada ‘frontliner’

Kuala Lumpur: Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menyediakan peruntukan tiket tambahan kepada petugas barisan hadapan bagi menyaksikan perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia antara pasukan terbabit menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Sultan Ibrahim, Khamis ini. 

Menerusi kenyataan di Facebook Johor Southern Tiger tiket tambahan itu adalah sebagai tanda penghargaan kepada petugas barisan hadapan di Johor yang memerah keringat dalam memerangi Covid-19.

JDT SEDIAKAN PERUNTUKAN TIKET UNTUK PETUGAS BARISAN HADAPAN

“Ini adalah bagi menghargai petugas barisan hadapan di negeri Johor yang telah berusaha sedaya upaya tanpa lelah untuk memerangi pandemik Covid-19 dan melindungi Bangsa Johor,” katanya. 

JDT bakal melayan kunjungan KDA FC pada perlawanan kedua suku akhir bagi merebut slot untuk ke pusingan seterusnya. 

Pada perlawanan di Stadium Darul Aman, Kedah, Ahad lalu, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sekali gus menyaksikan saingan di Stadium Sultan Ibrahim bakal menjadi penentu kepada pasukan yang layak menempah tiket separuh akhir. 

Sementara itu, penjualan tiket secara atas talian membabitkan perlawanan kedua-dua pasukan sudah habis terjual sejak mula dibuka orang ramai beberapa hari lalu.

Sumber : Harian Metro

Komen Anda?