JDT Menyambut Serta Menyokong Persatuan Bola Sepak Kudung Malaysia

“Bola sepak menyatukan semua pemain dan penyokong dari seluruh pelusuk dunia”

Semoga berjaya Harimau Kudung.

JDT MENYAMBUT SERTA MENYOKONG PERSATUAN BOLA SEPAK KUDUNG MALAYSIA DAN PROJEK TONGKAT

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja menyambut kehadiran pemain serta pegawai Persatuan Bolasepak Orang Kudung Malaysia (MAFA) di Pusat Latihan JDT, Padang Seri Gelam pada hari ini, 6 Januari 2020.

JDT menjemput pasukan tersebut ke Johor sebagai sebahagian program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kelab, seperti pada beberapa minggu sebelum ini memberi bantuan kepada mangsa-mangsa bencana gempa bumi di Albania sebagai tambahan kepada pelbagai projek amal di masa lalu seperti melakukan lawatan dan membantu rumah anak-anak yatim, rumah orang tua, mangsa bencana banjir dan perlawanan JDT All-Stars Friendly di mana kutipan hasil tiket telah disumbangkan kepada tiga badan kebajikan.

Harimau Selatan dan DYAM Tunku Mahkota Ismail disertai pasukan tersebut, bermain bola sepak bersama serta memberi sumbangan kepada MAFA dan Projek Tongkat, yang merupakan inisiatif kesedaran mengenai bola sepak kudung di Malaysia dan bagaimana sukan ini mampu menyatukan semua pemain dan penyokong dari seluruh pelusuk dunia termasuk mereka di zon konflik.

Pasukan yang digelar Harimau Kudung ini bakal beraksi dalam saingan bola sepak kudung dalam Kejohanan Enam Negara Piala Jemputan MAFA 2020. Mereka juga sedang dalam persediaan untuk merealisasikan impian ke Kejohanan Bolasepak Piala Dunia Kudung 2022. Luaskan Kuasamu Johor.

Allah Peliharakan Sultan. Johor mesti jadi Johor.

Komen Anda?