JDT Menewaskan Kelantan FC, Jumpa Kedah Suku Akhir

Johor Darul Ta’zim (JDT) melangkah ke suku akhir Piala Malaysia dengan penuh bergaya dengan mengekalkan rekod kemenangan bersih selepas membelasah Kelantan 4-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, sebentar tadi.

Turun tanpa beberapa tonggak utama, skuad Harimau Selatan yang juga juara bertahan Piala Malaysia terpaksa menunggu hingga minit ke-48 untuk membuka tirai jaringan menerusi rembatan dari luar kotak penalti, Syafiq Ahmad.

Leandro Velazquez meledak gol kedua skuad kendalian Benjamin Mora apabila menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-60 sebelum Guilherme De Paula menambah gol ketiga hanya seminit kemudian.

Bekas kapten Perak, Shahrul Saad melengkapkan kemenangan JDT apabila menanduk masuk bola sepakan penjuru Safawi Rasid pada masa kecederaan.

Kemenangan itu menyaksikan JDT mengumpul 18 mata maksimum, manakala Kelantan yang tidak memenangi sebarang perlawanan dalam Kumpulan D hanya menghimpun dua mata.

Selaku juara kumpulan, Harimau Selatan akan menentang naib juara Kumpulan C, Kedah Darul Aman di peringkat suku akhir pada 14 November ini.

Ia selepas Kedah tewas 0-2 kepada Melaka United pada aksi terakhir Kumpulan C di Stadium Hang Jebat sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan Helang Merah terpaksa akur mara ke suku akhir sebagai naib juara dengan 12 mata, ketinggalan empat mata di belakang Melaka yang langsung tidak tewas dalam enam perlawanan Kumpulan C.

Sabah lengkapkan lapan pasukan terbaik Piala Malaysia

Tahniah diucapkan kepada 8 pasukan yang telah layak ke peringkat suku akhir TM Piala Malaysia 2021! 👏

Komen Anda?