JDT Menang 4-0, Benam PJ City Di SSI

Johor Darul Ta’zim (JDT) mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu Liga Super Malaysia 2022 setelah mencatat kemenangan 4-0 menentang PJ City FC di Stadium Sultan Ibrahim, di sini sebentar tadi.

Kemenangan itu memastikan JDT berjaya mengumpul 22 mata hasil tujuh kemenangan dan satu keputusan seri sekali gus menjarakkan mata dengan pencabar terdekat Negeri Sembilan FC dan Sabah FC.

Pada perlawanan itu, pengendali JDT, Benjamin Mora mengekalkan kesebelasan yang sama ketika meratah Selangor FC 5-1, Jumaat lalu dan tampak menguasai permainan sebaik aksi bermula.

Percubaan pertama skuad Harimau Selatan hadir seawal minit kelima apabila Bergson Da Silva bertindak melakukan rembatan di luar kotak penalti tepat menuju ke penjuru kanan gawang tetapi penjaga gol PJ City FC, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi sempat merebahkan badan untuk menepis bola keluar.

Walaupun sering diasak, PJ City FC mengambil peluang menerusi serangan balas pada minit ke-19 apabila bola sepakan lencong A Ashokan Pillay hampir memerangkap penjaga gol, Farizal Marlias yang sudah tertewas namun palang gol menjadi penyelamat buat JDT.

Bagaimanapun, tuan rumah membuka tirai jaringan pada minit ke-23 melalui Penyerang kelahiran Brazil itu yang tidak mensia-siakan umpanan cantik Leandro dengan melepaskan rembatan deras ke penjuru Kiri gawang menewaskan penjaga gol, Kalamullah.

Hasil daripada sepakan percuma pada minit ke-25, tuan rumah mendahului 2-0 apabila bola sepakan percuma Fernando Forestieri tepat menuju ke penjuru kiri gawang.

Tamat separuh masa pertama

Bergson terlepas peluang mencetak gol kedua peribadinya pada minit ke-53 selepas bola sepakan percuma dari jarak 25 meter hanya sekadar melewati palang gol.

Serangan bertali arus tuan rumah memastikan pasukan pelawat terus derita apabila Bergson menyudahkan hantaran Forestieri pada minit ke-66.

Kesilapan pemain PJ City yang mengumpan bola ke belakang pada minit ke-86 membolehkan Bergson merampas bola sebelum mengumpan kepada Forestieri yang tidak dikawal untuk menolak bola masuk menewaskan Kalamullah. Kekal 4-0 sehingga wisel penamat ditiupkan.

Bergson Jaringan Gol (13)

KEDUDUKAN LIGA SUPER – LS11

Photo by MFL

#LuaskanKuasamuJohor

PERHATIAN:- Pihak kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yg diberikan oIeh pembaca kami. Komen itu adalah menjadi tanggungjawab pemilik akaun Facebook tersebut.

LIKE & FOLLOW kami di FB page Satu Johor

Ikuti juga artikel menarik yang kami kongsikan di bawah ini.

Komen Anda?