JDT Mara Ke Suku Akhir

Juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan mara ke suku akhir selepas menewaskan Sabah FC 3-0 pada aksi Kumpulan D saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.

Rentak kemenangan tuan rumah bermula seawal minit keenam menerusi Leandro Velazquez yang memanfaatkan umpanan Bergson Da Silva untuk menewaskan penjaga gol pelawat, Rozaimie Rohim.

Usaha Corbin Ong yang melakukan sepakan lintang pada minit ke-34 menyaksikan bola terkena tangan Ummareng Bacok di dalam kotak penalti dan pengadil perlawanan, Zulkarnain Zakaria tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti.

Bergson yang kembali menguatkan barisan serangan Harimau Selatan tidak berdepan masalah mencipta gol selepas merembat bola kencang tepat ke penjuru kiri gawang menewaskan Rozaimie dan meletakkan tuan rumah selesa mendahului 2-0.

Ketika aksi berbaki seminit, tuan rumah terlepas peluang untuk menambah jaringan apabila bola sepakan penalti yang diambil Safawi Rasid mudah ditangkap Rozaimie.

Namun dalam masa kecederaan Bergson menanduk bola sepakan percuma pemain gantian Safiq Rahim bagi memastikan tuan rumah menamatkan perlawanan dengan kemenangan 3-0.

JDT layak ke peringkat suku akhir dengan kemenangan ini hasil jaringan Leandro Velazquez dan dua gol Bergson da Silva.

📊 KEDUDUKAN PERINGKAT KUMPULAN – PM4

Tahniah kepada Kedah Darul Aman FC serta Johor Darul Ta’zim FC kerana telah layak ke peringkat suku akhir!

Selepas mengharungi empt perlawanan, skuad bimbingan Benjamin Mora mengutip 12 mata maksimum dan mengekalkan rekod tanpa kalah setakat ini tatkala berbaki dua perlawanan di tempat lawan menentang Petaling Jaya City FC, Sabtu ini dan Kelantan FC pada 9 November ini.

Komen Anda?