JDT Mara Ke Final Piala Malaysia 2022

Johor Darul Ta’zim (JDT) mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Sabah FC 3-1 pada pusingan separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.

JDT mara dengan agregat 4-1 selepas terlebih dahulu menewaskan Sabah 1-0 pada separuh akhir pertama di Stadium Likas, tempohari.

Tanpa kelibat Feroz Baharuddin dan Leandro Velazquez yang digantung satu perlawanan, pengendali JDT, Hector Bidoglio menyenaraikan Jordi Amat dan Nazmi Faiz Mansor bagi mengimbangi kekuatan pasukan itu mengharungi 90 minit perlawanan.

Sebaik babak pertama bermula, JDT yang membawa bekalan kemenangan 1-0 ke atas skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee, mula mengasak ke kubu skuad The Rhinos dan hampir mencipta jaringan seawal minit kelima apabila Bergson Da Silva berjaya melepasi kawalan pertahanan pelawat tetapi penjaga gol, Damien Lim sempat menghalang bola rembatan Bergson.

Memasuki minit ke-35, usaha berterusan skuad Harimau Selatan untuk memecah kebuntuan jaringan membuahkan hasil selepas hantaran lintang Corbin Ong disempurnakan Bergson.

Bergson da Silva meletakkan JDT di hadapan!

Anak didik Bidoglio menambah derita skuad The Rhinos pada minit ke-41 selepas bola hantaran Nazmi Faiz ditampan kemas Arif Aiman Hanapi yang berada di dalam kotak penalti dan membiarkan Fernando Forestieri merembat bola menewaskan Damien untuk meletak JDT selesa dengan kedudukan 2-0.

Satu set daripada Arif Aiman disempurnakan dengan sepakan volley daripada Forestieri untuk gol kedua Harimau Selatan malam ini.

Bersambung babak kedua, skuad The Rhinos berjaya merapatkan jurang gol pada minit ke-47 apabila bola rembatan dari jarak 25 meter Park Tae-su gagal ditangkap kemas penjaga gol, Farizal Marlias dan kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Taiki Kagayama.

Taiki Kagayama merapatkan kedudukan untuk Sabah FC!

Ketika aksi berbaki seminit, JDT diberikan sepakan penalti oleh pengadil, Nazmi Nasaruddin selepas pemain gantian, Akhyar Rashid dikasari Gerald Gadit di dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, seorang lagi pemain gantian, Safawi Rasid gagal menyempurnakan sepakan berkenaan.

Pemain gantian, Syafiq Ahmad menebus kehampaan itu apabila menjaringkan gol bagi memastikan kemenangan 3-1 memihak skuad Harimau Selatan.

Syafiq Ahmad memastikan kemenangan JDT dengan gol ketiga!

Menanti JDT di perlawanan akhir samada Selangor FC atau Terengganu FC esok.

#LuaskanKuasamuJohor

PERHATIAN:- Pihak kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yg diberikan oIeh pembaca kami. Komen itu adalah menjadi tanggungjawab pemilik akaun Facebook tersebut.

Ikuti juga artikel menarik yang kami kongsikan di bawah ini.

Komen Anda?