JDT Lancar Jersi Baharu Musim 2020

KELAB Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) akan melancarkan jersi baharu bagi musim 2020 ‘Legacy Lit’ 2020 di Dataran Bandaraya Johor Bahru pada 1 hingga 2 Februari depan. Malah, mereka juga berpeluang mendapatkan pas masuk edisi terhad ke Majlis Perasmian Stadium Sultan Ibrahim.

Saksikan sebuah ‘Legacy Lit’ di Pelancaran Jersi 2020 Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT)!

KORELASI PRESTIJ SERTA NILAI EKSKLUSIF NIKE DAN JDT YANG TERMANIFESTASI

Elemen utama NIKE berminat menaja Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah kerana melihat DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja memiliki falsafah jelas dalam memacu kejayaan yang berskala lebih besar lantas membawa nilai positif keatas promosi penjenamaan mereka kelak.

Reputasi dan status JDT yang dikenali di Asia Tenggara juga telah memberi stimulasi jenama sukan terkemuka berasal dari Amerika Syarikat itu untuk terus kekal menaja JDT selama tiga musim. Namun baru-baru ini DYAM Tunku Mahkota Ismail telah mendedahkan bahawa JDT akan lebih lama bekerjasama dengan NIKE dan akan melibatkan perancangan jangka masa panjang yang penuh aspirasi pada masa hadapan.

Kenyataan itu dilihat realistik apabila berlokasi di salah satu sudut tempat duduk penyokong, telah terlihat dengan jelas logo mega “Swoosh” menghiasi dekorasi bahagian tempat duduk tersebut dan sudah pastinya akan menjadi salah satu mercu tanda ikonik Stadium Sultan Ibrahim.

Namun bagi JDT pula, DYAM Tunku Mahkota Ismail bersetuju menandatangani perjanjian tajaan bersama NIKE selain daripada nilai komersial, publisiti dan penjenamaan di peringkat global yang efektif adalah kerana prestij serta nilai eksklusif.

Terdapat korelasi yang kuat antara prestij serta nilai eksklusif keatas penampilan sesebuah pasukan. DYAM Tunku Mahkota Ismail telah menegaskan bahawa baginda amat mengutamakan penampilan bagi setiap komponen dalam organisasi JDT supaya sentiasa kelihatan hebat kerana sedar bahawa mereka adalah barisan hadapan yang menjadi refleksi wajah Harimau Selatan.

Rasionalnya ini adalah pendekatan yang sama dilakukan oleh kelab-kelab terkemuka dunia yang telah diadaptasikan oleh JDT.

SENTIASA BERADA PADA KELAS YANG BERBEZA

Menjadi agenda rutin setiap musim baharu, pelancaran jersi terbaharu JDT akan menjadi sesuatu perkara yang ditunggu-tunggu oleh penyokong, peminat, pemerhati dan pengkritik bola sepak tanah air. Satu majlis gilang gemilang beserta gimik pelancaran membuktikan JDT begitu istimewa dan amat berbeza berbanding pasukan-pasukan lain. Setiap perkara yang mahu diimplementasi telah dirancang penuh teliti sebagai apresiasi kepada setiap lapisan dalam struktur keluarga JDT.

Imbas kembali, majlis pelancaran jersi bagi musim 2019, pelbagai acara telah diadakan pada hari tersebut seperti pertunjukan bunga api yang menakjubkan, persembahan lampu serta persembahan artis artis-artis tempatan berkelas A. Namun pada tahun ini, bertarikh satu dan dua haribulan Februari kelak sudah pastinya sambutan akan dibuat lebih menakjubkan dan spektakular disamping tidak sunyi diisi dengan program-program yang padat diatur sepanjang dua hari majlis itu berlangsung.

Penyokong Harimau Selatan harus hadir ke Dataran Bandaraya Johor Bahru untuk merasakan sendiri kemeriahan Majlis Pelancaran Jersi Kelab Bolasepak JDT ‘Legacy Lit’ 2020 dan berpeluang mendapatkan Pas Masuk Edisi Terhad ke Majlis Perasmian Stadium Sultan Ibrahim.

Akhir kata, rekaan jersi pada musim ini telah selesai dimuktamadkan, maka bersiap sedialah untuk menjadi pemilik awal jersi Harimau Selatan semasa pelancaran kelak.

“Just Do It!, Legacy Lit!” Prestij dan eksklusif dalam Malaya. Anda pasti tidak akan kecewa!

Sumber Artikel: Media JST

Komen Anda?