JDT Dinobatkan Ikon Sukan Persatuan/Kelab dalam Anugerah Ikon Sukan (AIS)

Kecemerlangan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam arena sukan bola sepak tempatan mahupun antarabangsa menyaksikan kelab itu diangkat sebagai pemenang anugerah Ikon Sukan Persatuan/Kelab terbaik.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif kelab JDT, Alistair Edwards, kemenangan ini adalah penghargaan yang bermakna buat skuad Harimau Selatan kerana ia diiktiraf oleh penyokong yang mengundi kelab itu untuk memenangi kategori terbabit.

Malah katanya, pengiktirafan itu turut membuktikan bahawa revolusi yang dibuat pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim terhadap pasukan itu diakui peminat seluruh negara.

“Pertama sekali ia meletakkan JDT sebagai sebuah kelab yang diakui peminat paling berjaya dalam negara.

“Ia adalah hasil usaha dan sentuhan Tunku Ismail yang membawa JDT ke tahap tertinggi, tidak kira dalam negara mahupun luar.

“Dengan kemenangan ini, kami akan berusaha lebih baik lagi selepas ini untuk terus berjaya dalam bola sepak,” katanya ketika ditemui pada majlis malam kemuncak Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro

Sementara itu, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dinobatkan sebagai pemenang anugerah Ikon Sukan Kepimpinan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Harian Metro di atas penganjuran dan kemenangan ini. Terima kasih juga kepada peminat yang mengundi saya.

“Kemenangan ini akan menyemarakkan lagi semangat saya untuk bekerja lebih keras dalam memacu bola sepak negara ke tahap terbaik,” kata Hamidin.

Hasil kemenangan itu, masing-masing membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai sejumlah RM5,000 beserta langganan e-Paper Harian Metro selama setahun.

Sumber : Harian Metro

#LuaskanKuasamuJohor

PERHATIAN: Pihak kami tidak akan bertanggungjawap langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawap anda sendiri.