Johor Darul Ta’zim (JDT) masih belum mampu dicabar Kuala Lumpur (KL) City apabila skuad Harimau Selatan itu melakar kemenangan selesa 3-0 dalam perlawanan kedua Liga Super bagi musim 2023 di Stadium KLFA, dekat sini, sebentar tadi.
https://twitter.com/mfl_my/status/1630939317307850752?s=46&t=YVmwNsNoOvMJW8TMa-_C0Q
Aksi konsisten yang dipamerkan juara sembilan kali berturut-turut Liga Super itu tidak mampu ditandingi skuad ibu kota yang hanya bertahan di kubu sendiri.
Asakan demi asakan yang dilancarkan ke kubu tuan rumah, akhirnya berhasil pada minit ke-40 apabila penyerang import KL City, Romel Morales tertampan bola sepakan percuma oleh pendatang baharu JDT, Juan Muniz Gallego bagi meletakkan skuad bimbingan Solari Esteban Adres mendahului 1-0.
KL City sekali lagi hampir dibolosi buat kali kedua, namun, mujurlah tandukan Jordi Amat berjaya diselamatkan oleh penjaga gol, Kevin Mendoza tujuh minit berselang.
Anak-anak buah Bojan Hodak yang berusaha mencari gol penyamaan sebaik permainan disambung semula selepas rehat, sekali lagi terpaksa menyaksikan pintu gol mereka dirobek buat kali kedua.
Kali ini, giliran pemain yang baharu sahaja mendapat status kewarganegaraan Malaysia, Endrick Dos Santo yang mudah menanduk masuk bola ke gawang KL City hasil hantaran lintang Fernando Forestieri pada minit ke-52.
Tuan rumah yang terdesak merapatkan defisit jaringan, memperoleh peluang menerusi kapten, Paulo Josue pada minit ke-69, namun, percubaannya ke pintu gol JDT yang dikawal ketat Ahmad Syihan Hazmi itu gagal menemui sasaran.
Hodak yang membawa masuk Herlison Caion bagi menambah sengat jentera serangan KL City, masih tidak mampu memburu gol buat tuan rumah.
Malah sebaliknya, derita yang mereka peroleh apabila bintang sayap JDT, Arif Aiman Hanapi melebarkan kedudukan menjadi 3-0 selepas menerima hantaran
Muhammad Ramadhan Saifullah Usman pada minit ke-90.
Selepas dua perlawanan, JDT kini mengumpul 6 mata, manakala, KL City hanya mengutip satu mata selepas melakar keputusan seri 2-2 dalam aksi pembukaan musim menentang Pulau Pinang, Sabtu lepas. – UTUSAN
📊 Kedudukan Liga Super LS2
Sabah FC, Johor Darul Ta’zim dan Kedah Darul Aman FC kekal sebagai tiga pasukan teratas.
https://twitter.com/mfl_my/status/1630953230334304256?s=46&t=YVmwNsNoOvMJW8TMa-_C0Q
#LuaskanKuasamuJohor
PERHATIAN: Pihak kami tidak akan bertanggungjawap langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawap anda sendiri.