Jangan Terpengaruh Dengan Golongan Anti-Vaksin – Sultan Johor

Johor Bahru: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar mengingatkan rakyat supaya jangan mudah terpengaruh dengan golongan anti-vaksin yang dipelopori pihak tertentu.

Sultan Ibrahim dalam muat naik di akaun Facebook rasmi baginda bertitah, rakyat perlu memahami tujuan pengambilan vaksin adalah untuk mencegah jangkitan Covid-19 daripada terus mengancam kesihatan orang ramai.

“Islam mengajar kita supaya sentiasa memelihara keselamatan diri menerusi segala langkah pencegahan dari apa jua kemudaratan khususnya wabak penyakit. 

“Kaedah dalam menentukan hukum hakam, ada menegaskan bahawa membanteras keburukan adalah lebih utama dari membawa sesuatu kebaikan.

“Mencegah penyakit lebih baik daripada mengubatinya. Janganlah kita mendengar cerita karut yang disebarkan puak anti-vaksin ini.

“Dapatkan vaksin demi keselamatan diri dan untuk imuniti kelompok supaya penularan Covid-19 dapat dicegah,” titah baginda. 

Menurut laporan media, dianggarkan seramai 133,000 penerima yang terdiri daripada warga emas akan menerima dos suntikan vaksin AstraZeneca dalam Fasa 2 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di seluruh negeri Johor bermula minggu ini.

Sultan Johor bertitah, rakyat perlu menghayati firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 195 yang bermaksud ‘Jangan kamu campakkan diri kamu ke lembah kebinasaan’. 

“Ini yang diajar oleh agama kita. Mereka yang menolak tanpa sebab munasabah vaksin Covid-19 yang telah disediakan oleh kerajaan dan sudah difatwakan halal oleh Jawatankuasa Fatwa, seolah-olah merelakan diri dijangkiti wabak yang amat berbahaya ini.

“Islam tidak membenarkan umatnya berserah bulat-bulat kepada takdir yang akan menimpa tanpa sebarang usaha dan ikhtiar untuk mengelakkannya. 

“Bagi mereka yang sudah menerima suntikan vaksin, janganlah leka akan pematuhan prosedur standard operasi (SOP) pula,” titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim turut mengingatkan segelintir pihak supaya tidak mempolitikkan isu vaksin.

“Isu vaksin ini tidak seharusnya dipolitikkan, sebaliknya kerajaan sedang dan terus berusaha serta mengambil pelbagai pendekatan berkesan bagi meningkatkan pendaftaran rakyat untuk mendapatkan vaksin,” titah baginda.

Sumber : Harian Metro

Daulat Tuanku

Komen Anda?