‘Jalankan Tugas Dengan Amanah Dan Tanggungjawab’, MB Johor

Pesan guru yang saya tak pernah lupakan ialah,

” Siapa pun kita pada hari ini, semuanya adalah kerana berkat doa kedua ibu dan bapa kita ”

” Dengan redho mereka itulah maka Allah swt juga redho terhadap kita “

Alhamdulillah. Usai majlis mengangkat sumpah di Istana Bukit Serene dan sesi sidang media khas pagi tadi, saya terus pulang ke rumah bonda tercinta di Batu 28 Lenga.

Sebaik sampai di rumah, saya terus mendapatkan bonda yang sudah menanti bersama adik beradik saya yang lain. Terasa bahagia sekali dapat melihat wajah bonda. Saya salam dan cium bonda. Saya ucapkan terima kasih dan mohon restu dengan bonda tersayang.

Bonda saya Hajah Isniah Kasmongin seorang ibu tunggal. Ayahanda kami sudah kembali kerahmatullah pada tahun 2011 yang lalu. Al Fatihah untuk arwah ayah.

” Bonda dan ayahanda, doakan anakanda dapat menggalas amanah sebagai Menteri Besar Johor ini sebaiknya “

Saya akan terus bekerja dan berkhidmat untuk rakyat.

YAB Dr Sahruddin Jamal

Menteri Besar Johor

#MBJ17

Sumber : Dr Sahruddin Jamal

”Jalankan tugas dengan amanah dan tanggungjawab’

“BOLEH dikatakan setiap pagi anak (Dr Sahruddin Jamal) akan menelefon saya untuk bertanya khabar tetapi malam tadi dia telefon saya memaklumkan dilantik Menteri Besar Johor,” kata Isniah Kasmongin.

Isniah, 73, berkata, hanya Allah SWT saja yang tahu kegembiraannya apabila menerima berita berkenaan dan berharap anak kelapan dari 10 beradik itu dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik.

“Syukur Alhamdulillah kerana anak saya dilantik sebagai Menteri Besar. Saya sebagai ibu mendoakan supaya dia dapat melaksanakan tugasnya dengan cemerlang.

“Saya juga menasihatkannya menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan amanah,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Baru Batu 28 Lenga, Pagoh, Muar hari ini.

Terdahulu, Dr Sahruddin tiba di kampungnya 2 petang selepas selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor di Istana Bukit Serene, Johor Bahru, pagi tadi.

Kepulangan Menteri Besar Johor untuk menemui ibunya bagi mendapatkan restu apabila dilantik mengisi jawatan nombor satu Johor yang dikosongkan penyandangnya, Datuk Osman Sapian.

Mengenai perwatakan Dr Sahruddin, Isniah berkata, anaknya peramah dan sentiasa bertanyakan khabar dirinya.

Sementara itu, isterinya Dr Nila Armila Mukdan, 40, berkata, mereka mendirikan rumah tangga pada 2005 dan dikurniakan tiga anak dan kini mengandung anak keempat.

“Suami peramah dan suka bercakap. Kalau di rumah kami suasana meriah kerana dia rapat dengan ketiga-tiga anak perempuan kami berusia lapan hingga 13 tahun.

“Kami berkenalan ketika sama-sama menuntut di Fakulti Perubatan, Universiti Hasanuddin, Makasar, Sulawesi Selatan, Indonesia.

“Kami belajar di fakulti dan universiti sama. Saya 1997 manakala suami 1995.

“Perkenalan sebenarnya bermula ketika sama-sama menjalani latihan di hospital. Sebelum ini kami ada tiga klinik dan selepas suami menyertai politik, saya jaga pengurusan klinik dibantu doktor dan kakitangan,” katanya.

Menurutnya, sebagai isteri dia akan berusaha membantu dan menjadi tulang belakang suaminya dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab diberikan dan pada masa sama, cuba menguruskan rumah tangga dan anak-anak.

Sumber : Harian Metro